SD Guthrie tambah pegangan dalam EBP8, sasar keuntungan lebih besar jangka panjang - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SD Guthrie tambah pegangan dalam EBP8, sasar keuntungan lebih besar jangka panjang - Maybank IB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 3 Dis – Langkah SD Guthrie Bhd menambah pegangan ekuitinya dalam syarikat kenderaan usaha sama Eco Business Park 8 Sdn Bhd (EBP8) dilihat bakal membuka ruang lebih besar kepada kumpulan itu untuk meraih keuntungan pembangunan pada masa hadapan, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, langkah itu bagaimanapun menyebabkan kumpulan itu dijangka mengiktiraf keuntungan pelupusan tanah yang lebih kecil, dianggarkan sebanyak RM364 juta pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (FY26), manakala baki keuntungan akan ditangguhkan ke tempoh seterusnya.

 

“Dengan penyusunan semula ini, SD Guthrie akan memperoleh bahagian lebih besar daripada keuntungan pembangunan JV pada masa depan,” kata firma penyelidikan itu dalam satu nota.

 

Pegangan SD Guthrie dalam EBP8 dinaikkan kepada 45%

Di bawah perjanjian pemegang saham yang dipinda, anak syarikat SD Guthrie, SD Guthrie Land Ventures Sdn Bhd, akan meningkatkan kepentingannya dalam EBP8 kepada 45%, berbanding 25% sebelum ini.

 

Sebagai sebahagian daripada penyusunan semula EcoWorld akan mengurangkan pegangan daripada 65% kepada 45%, manakala Permodalan Darul Ta'zim Sdn Bhd (PDT) akan mengekalkan pegangan 10%.

 

ARTIKEL BERKAITAN: SD Guthrie jual tanah JS-SEZ bernilai RM815 juta, jalin kerjasama bangunkan Eco Business Park VIII

 

Maybank IB berkata perubahan persetujuan ini mencerminkan keyakinan bersama terhadap asas kukuh EBP8 serta pandangan jangka panjang SD Guthrie terhadap prospek ekonomi dan pertumbuhan di Iskandar Malaysia.

 

“Perjanjian yang dipinda dan dinyatakan semula ini menunjukkan keyakinan SD Guthrie terhadap kekuatan EBP8 dan prospek jangka panjang Iskandar Malaysia,” katanya.

 

EBP8 sebelum ini telah memeterai perjanjian dengan SD Guthrie bagi pembelian 381.14 hektar tanah pegangan bebas di Kulai, Johor pada harga tunai RM814.8 juta.

 

Sebaik sahaja perjanjian itu memenuhi semua syarat terdahulu dan menjadi muktamad, SD Guthrie dijangka mengiktiraf keuntungan selepas cukai lebih rendah sebanyak RM364 juta bagi separuh kedua tahun kewangan 2026 (FY26) daripada pelupusan tanah tersebut.

 

Maybank IB menjelaskan unjuran keuntungan yang lebih tinggi sebelum ini tidak hilang tetapi hanya ditangguhkan dan akan diiktiraf oleh SD Guthrie apabila EBP8 melupuskan tanah berkenaan kepada pembeli pihak ketiga kelak.

 

“Kami tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran pendapatan FY26 kerana model kami telah mengambil kira RM500 juta sumbangan keuntungan daripada pembangunan industri kumpulan,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan BELI terhadap SD Guthrie dengan harga sasaran RM5.75- DagangNews.com