Scientex raih RM1.11 bilion pada 3QFY25 hasil kukuh hartanah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Scientex raih RM1.11 bilion pada 3QFY25 hasil kukuh hartanah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Jun - Scientex Berhad mencatatkan hasil sebanyak RM1.11 bilion dan untung bersih sebanyak RM123.9 juta bagi suku ketiga berakhir 30 April 2025 (3QFY25), disokong sumbangan kukuh daripada bahagian hartanah serta pendekatan operasi yang berfokus dalam perniagaan pembungkusannya.

 

Kumpulan itu berkata, hasil bagi suku itu kekal stabil berbanding RM1.10 bilion pada suku yang sama tahun sebelumnya, manakala keuntungan bersih sedikit lebih rendah berbanding RM130.5 juta sebelum ini.

 

Hasil bahagian hartanah meningkat sebanyak 9.9% kepada RM495.8 juta daripada RM451.1 juta sebelum ini, didorong pengebilan kemajuan yang lebih tinggi daripada projek-projek di kawasan Tengah dan Selatan.

 

Scientex turut melancarkan tujuh projek baharu di seluruh Semenanjung Malaysia sepanjang suku tersebut, yang menyumbang kepada peningkatan jualan hartanah dalam 3QFY25 dan mengekalkan momentum pertumbuhannya.

 

"Bahagian pembungkusan mencatatkan hasil sebanyak RM614.8 juta, penurunan sebanyak 6.4% berbanding RM656.9 juta sebelum ini, disebabkan oleh permintaan eksport yang lebih lemah, pergerakan kadar tukaran asing yang tidak menguntungkan, serta persaingan pasaran yang sengit.

 

"Sebagai tindak balas, bahagian ini terus memberi keutamaan kepada kecekapan kos, penambahbaikan operasi, dan inovasi produk," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Peng Jin berkata, model perniagaan berkembar kekal sebagai tunjang kekuatan Scientex, membolehkan pihaknya menyampaikan nilai jangka panjang dalam persekitaran pasaran yang dinamik.

 

Beliau berkata, bahagian hartanah terus mencatat pertumbuhan yang stabil, disokong permintaan berterusan terhadap rumah mampu milik yang berkualiti.

 

Katanya, sambutan yang menggalakkan terhadap pelancaran projek kami mengukuhkan lagi strategi dan komitmen kami untuk memperluaskan bank tanah serta menyediakan akses yang lebih meluas kepada perumahan mampu milik di seluruh Semenanjung Malaysia.

 

"Sementara itu, bahagian pembungkusan kami kekal sebagai elemen penting dalam rantaian bekalan global. Di sebalik keadaan luaran yang mencabar, kami sedang melaksanakan strategi berfokus untuk meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh daya saing kos, dan memacu inovasi," katanya.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 April 2025 (9MFY25), Kumpulan menunjukkan ketahanan dengan mencatatkan hasil sebanyak RM3.33 bilion berbanding RM3.31 bilion sebelum ini. Keuntungan bersih kumpulan pula menyusut kepada RM376.4 juta berbanding RM409.4 juta sebelum ini.- DagangNews.com