SC tolak permohonan Southern Score pindah ke Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SC tolak permohonan Southern Score pindah ke Pasaran Utama Bursa Malaysia

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 27 Sept - Southern Score Builders Bhd memaklumkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah menolak permohonannya untuk memindahkan penyenaraian daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia, selepas enggan memberikan pengecualian daripada keperluan aliran tunai operasi positif di bawah ujian keuntungan.

 

“Selaras dengan ketidaklulusan permohonan pengecualian itu, SC telah memutuskan untuk tidak meluluskan pemindahan yang dicadangkan di bawah Seksyen 214A(1)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007,” kata kumpulan itu dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia.

 

Syarikat itu sebelum ini memohon pengecualian tersebut selepas mencatatkan aliran tunai bersih negatif daripada aktiviti operasi sebanyak RM10.35 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2023, susulan perubahan tarikh akhir tahun kewangan.

 

Bagaimanapun, Southern Score menekankan, syarikat telah memenuhi keperluan keuntungan, dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM6 juta bagi FY2024 dan agregat melebihi RM20 juta dalam tempoh tiga hingga lima tahun kewangan lalu.

 

Bagi aliran tunai operasi, kumpulan itu mencatatkan RM1.4 juta dalam FY2024, RM9.96 juta pada FY2022 dan RM40.87 juta pada FY2021.

 

Southern Score, yang disenaraikan di Pasaran ACE pada November 2022 dengan harga IPO 55 sen, mengemukakan cadangan pemindahan pada Oktober 2024.

 

Lembaga pengarah syarikat itu berkata mereka akan meneliti langkah seterusnya dan membuat pengumuman yang diperlukan pada masa yang sesuai. - DagangNews.com