KUALA LUMPUR 26 Mei - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan rayuan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk mengembalikan semula perintah garnisi nisi terhadap dua bekas eksekutif kanan berkaitan kes niaga dalaman melibatkan saham WCT Berhad.
Keputusan itu sekali gus menjadikan perintah garnisi tersebut sebagai muktamad, membuka laluan kepada SC untuk meneruskan proses pemulihan jumlah penghakiman keseluruhan sebanyak RM5.83 juta.
Kes berkenaan membabitkan Goh Chin Liong, bekas Timbalan Pengarah Urusan WCT, dan Leong Ah Chai, yang didapati bersalah atas kesalahan niaga dalaman di bawah Seksyen 188(2) dan 188(3) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
Mahkamah sebelum ini pada tahun 2022 mendapati kedua-dua individu tersebut melakukan pelanggaran berkaitan penggunaan dan pendedahan maklumat material bukan awam, melibatkan isu pembatalan kontrak projek pembinaan “Nad Al Sheba Dubai Racecourse” di Emiriah Arab Bersatu.
Projek berkenaan sebelum ini dianugerahkan kepada syarikat usaha sama yang melibatkan WCT dan Arabtec Construction LLC.
Dalam penghakiman asal, Mahkamah Tinggi memerintahkan setiap defendan membayar kira-kira RM2.54 juta sebagai perampasan keuntungan, selain penalti sivil RM300,000 dan kos RM75,000 kepada SC.
Kedua-dua defendan kemudian mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan serta memohon penangguhan bayaran, namun kedua-dua permohonan tersebut ditolak.
Susulan kegagalan mereka menjelaskan jumlah penghakiman, SC memulakan prosiding garnisi pada Julai 2025 bagi mendapatkan semula tunggakan tersebut. Walaupun perintah garnisi nisi pada awalnya dibenarkan, ia kemudian diketepikan oleh Pendaftar Mahkamah Tinggi pada Disember 2025 sebelum SC membuat rayuan.
Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan rayuan SC dan mengarahkan perintah garnisi nisi itu dikekalkan sebagai perintah muktamad, selain mengenakan kos RM5,000 terhadap setiap defendan.
SC dalam kenyataannya menegaskan keputusan itu mengukuhkan komitmen pengawal selia tersebut terhadap penguatkuasaan tegas dalam memastikan pematuhan undang-undang pasaran modal serta pemulihan penuh jumlah penghakiman yang diperoleh.
Rayuan penuh kes berkenaan dijadualkan didengar di Mahkamah Rayuan pada 9 Julai 2026.
SC diwakili oleh peguam Ng Chian Huey dan Adibah Saiful Bahri, bersama peguam luar, Messrs Benjamin Dawson. Para defendan diwakili oleh Messrs Jasbeer, Nur & Lee.- DagangNews.com








