SBH Marine dikenakan penalti cukai tambahan RM3.2 juta LHDN, akan kemukakan rayuan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SBH Marine dikenakan penalti cukai tambahan RM3.2 juta LHDN, akan kemukakan rayuan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 3 Mac – Syarikat tersenarai di Pasaran ACE, SBH Marine Holdings Bhd (KL:SBH) dikenakan penalti cukai pendapatan tambahan berjumlah RM3.2 juta oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi Tahun Taksiran 2023.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin, syarikat pengeluar makanan laut sejuk beku itu memaklumkan notis taksiran tambahan berkenaan mempertikaikan pengiraan cukai melibatkan kuantiti tuaian dan harga jualan daripada operasi ladang akuakultur udang di Kurau Farm.

 

Bagaimanapun, SBH Marine berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap notis tersebut dan berpandangan mempunyai asas munasabah untuk mencabar taksiran LHDN, berdasarkan nasihat perunding cukainya.

 

 

 

 

 

 

“Setakat ini, tiada peruntukan dibuat dalam penyata kewangan dan perkara ini akan didedahkan sebagai liabiliti luar jangka,” katanya.

 

Syarikat itu turut menjelaskan bahawa sementara menunggu keputusan rayuan, penalti tambahan berkenaan dijangka tidak memberi kesan kewangan dan operasi serta-merta kepada kumpulan.

 

Dari segi prestasi kewangan, SBH Marine mencatatkan keuntungan bersih RM2.35 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025), susut 30.6% berbanding RM3.38 juta pada tahun sebelumnya.

 

Pendapatan bagi tahun penuh pula meningkat marginal 0.1% kepada RM192.96 juta daripada RM192.73 juta sebelum ini.

 

 

 

 

 

 

 

Menurut syarikat, penyusutan keuntungan itu dipengaruhi oleh kesan pertukaran asing yang tidak memihak, khususnya kelemahan dolar Amerika Syarikat, selain keuntungan penilaian semula yang diiktiraf pada tahun kewangan 2024.

 

Bagi suku keempat FY2025, kumpulan merekodkan kerugian bersih RM845,000 berbanding keuntungan bersih RM2.9 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, susulan tekanan margin akibat faktor pertukaran asing. - DagangNews.com