Sazali Hamzah dilantik sebagai pengerusi baharu PETRONAS Dagangan berkuat kuasa serta-merta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sazali Hamzah dilantik sebagai pengerusi baharu PETRONAS Dagangan berkuat kuasa serta-merta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 8 Mei - PETRONAS Dagangan Bhd mengumumkan pelantikan Datuk Sazali Hamzah sebagai pengerusi baharu berkuat kuasa serta-merta, menggantikan Datuk Anuar Ahmad yang bersara pada 27 April lalu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat berkata Sazali kini memegang jawatan Naib Presiden Eksekutif Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) perniagaan hiliran PETRONAS.

 

Beliau turut berkhidmat sebagai Pengerusi PETRONAS Chemicals Group Bhd.

 

Sazali, 60, sebelum ini pernah memegang jawatan Pengarah Urusan dan CEO PETRONAS Chemicals Group Bhd dari 8 Mei 2014 hingga 31 Disember 2021, serta Pengarah Urusan dan CEO PETRONAS Penapisan (Melaka) Sdn Bhd.

 

Beliau juga pernah menyandang beberapa jawatan kanan dalam PETRONAS termasuk Pengurus Besar Kanan, Penyelesaian Teknologi Kumpulan serta Ketua Pengurusan dan Penyampaian Projek, selain pelbagai peranan kepimpinan dalam sektor penapisan dan petrokimia. - DagangNews.com