Sasaran penggunaan 70% pusat rawatan, peningkatan pesakit luar negara sokong pemulihan margin Optimax pada 2Q26 - Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sasaran penggunaan 70% pusat rawatan, peningkatan pesakit luar negara sokong pemulihan margin Optimax pada 2Q26 - Phillip Capital

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Mei – Optimax Holdings Bhd diyakini mencatat prestasi kewangan yang lebih kukuh pada suku kedua tahun kewangan 2026 disokong oleh peningkatan penggunaan kapasiti pusat rawatan serta pemulihan margin selepas tamat kempen promosi agresif sebelum ini, menurut Phillip Capital.

 

Firma penyelidikan itu berkata walaupun kumpulan mencatat penurunan 20% tahun ke tahun bagi pembedahan refraktif pada 1Q26, prestasi pendapatan per pesakit menunjukkan peningkatan ketara.

 

“Purata hasil bagi setiap pembedahan meningkat kepada kira-kira RM15,000 berbanding RM8,000 hingga RM9,000 pada tahun 2025, didorong oleh peningkatan permintaan terhadap prosedur premium seperti SMILE Pro, yang kini merangkumi kira-kira 80% daripada jumlah prosedur refraktif.

 

“Tahap penggunaan purata pusat rawatan (ACC) berada pada sekitar 50% pada 1Q26, dengan sasaran meningkat kepada 65% hingga 70% menjelang akhir 2026,” kata Phillip Capital dalam  nota kajiannya.

 

Firma itu berkata kempen promosi berskala besar yang dilaksanakan pada 1Q26 bagi menyokong permintaan yang lemah adalah bersifat sementara dan tidak akan berulang pada suku-suku akan datang, seterusnya akan menyokong pemulihan margin keuntungan kumpulan.

 

Dalam perkembangan lain, kumpulan turut menjalankan aktiviti promosi antarabangsa bersama Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) di Indonesia yang berjaya mengumpul lebih 100 deposit bagi pembedahan Lasik.

 

Deposit tersebut akan ditukar kepada prosedur pembedahan dalam suku-suku akan datang, membentuk saluran pertumbuhan pendapatan masa hadapan.

 

Selain itu, segmen otorinolaringologi (ENT) yang baharu diperkenalkan di Atria ACC menunjukkan perkembangan awal positif, dengan 4 hingga 5 pembedahan telah dijalankan dan menjana lebih RM200,000 hasil dalam tempoh kurang sebulan sejak pelancarannya pada April 2026.

 

Segmen ENT ini dijalankan menggunakan empat bilik pembedahan sedia ada dengan fokus untuk mengoptimumkan penggunaan kapasiti bagi meningkatkan hasil.

 

Phillip Capital berkata walaupun margin keuntungan bagi segmen ini belum didedahkan, potensi peningkatan keuntungan dijangka lebih ketara apabila operasi mencapai skala lebih besar.

 

Firma itu turut menjangkakan operasi di Kemboja akan terus mencatat pertumbuhan kukuh, disokong oleh peningkatan permintaan rawatan kesihatan susulan konflik Thailand–Kemboja yang mengehadkan perjalanan perubatan ke Thailand.

 

Secara keseluruhan, Phillip Capital mengekalkan saranan “Beli” terhadap Optimax dengan harga sasaran tidak berubah pada RM0.81, berasaskan gandaan 25x (price-to-earnings (PE) terhadap unjuran EPS 2027.

 

Walaupun begitu, firma itu memberi amaran antara risiko utama termasuk kelemahan perbelanjaan pengguna, kelewatan pelan pengembangan, kekurangan pengamal perubatan berlesen serta persaingan dalam industri penjagaan mata.

 

Optimax juga dijangka mencatat pemulihan pendapatan lebih kukuh pada 2Q26 disokong oleh peningkatan penggunaan kapasiti, aliran pesakit antarabangsa serta sumbangan lebih tinggi daripada segmen baharu ENT dan pelancongan perubatan. - DagangNews.com