Sarawak Plantation diunjur raih hasil stabil didorong kenaikan harga sawit - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak Plantation diunjur raih hasil stabil didorong kenaikan harga sawit - MIDF Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 Mei — Sarawak Plantation Berhad diunjur mampu mencatatkan hasil jangka pendek yang lebih stabil didorong oleh faktor jangkaan berlaku kekukuhan harga minyak sawit mentah (MSM), kata MIDF Research.


Firma penyelidikan tersebut turut kekal optimis dengan berhati-hati terhadap potensi syarikat perladangan itu namun yakin perkembangan positif berkenaan disebabkan oleh kawasan boleh tuai pada kali ini yang lebih tinggi.


Keadaan itu katanya, masih boleh berlaku walaupun terdapat tekanan kos yang berterusan dan cabaran pengeluaran buah tandan segar (BTS) secara bermusim terutama tuaian ketika cuaca hujan lebat di kawasan ladangnya.


"Prestasi kumpulan ini turut adalah selaras dalam jangkaan kami, dengan kadar keuntungan selepas cukai dan faedah minoriti (PATAMI) sebanyak RM18.5 juta pada tempoh 1QFY25," kata MIDF Research dalam satu nota kajiannya.


Bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac 2025, Sarawak Plantation melaporkan keuntungan bersih RM22.63 juta, atau pendapatan sesaham 8.11 sen, meningkat berbanding sebanyak RM19.07 juta atau 6.84 sen setahun sebelumnya. 


Hasil juga meningkat kepada RM135.51 juta daripada RM127.32 juta pada 1QFY24, disokong oleh harga jualan purata MSM dan isirung sawit (PK) yang lebih tinggi, di samping faktor pengembangan kawasan boleh tuai.


MIDF Research menambah, pendapatan keseluruhan kumpulan tersebut adalah lebih baik dengan disebabkan oleh harga jualan MSM secara purata semakin tinggi di atas kawasan boleh tuai yang luas iaitu kira-kira 1,500 hektar.


Katanya, operasi estet kekal berdaya tahan, menjana hasil RM25.2 juta tetapi keuntungan kilang turun 30 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM4.2 juta, didorong kadar perahan minyak (OER) lebih rendah sebanyak 19.05 peratus.


Keadaan penurunan OER itu pula disebabkan oleh kelewatan pemindahan BTS dari ladang ke kilang berikutan faktor cuaca basah dalam tempoh berpanjangan dari pertengahan Januari hingga akhir Februari 2025.


Bagi bahagian pengeluaran Sarawak Plantation pula, perolehan BTS meningkat 6.1 peratus tahun ke tahun, dengan purata harga jualan MSM dan PK masing-masing bertambah kepada RM4,728 satu tan dan RM3,451 satu tan.


"Bagaimanapun kos pengeluaran meningkat kepada RM3,300 setan berbanding RM2,900 setahun sebelumnya disebabkan pelaksanaan dasar gaji minimum dan pengurangan dalam pembelian BTS dari luar," kata MIDF Research.


Ia mengekalkan saranan “neutral”, dan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM2.29, disandarkan ramalan hasil sesaham tahun kewangan 2025 sebanyak 27 sen dan nisbah harga kepada pendapatan sebanyak 8.5 kali. - DagangNews.com