KUALA LUMPUR 3 Dis - Sarawak kini terbabit dalam dalam 21 kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) berkaitan minyak dan gas (O&G) di kawasan daratan dan luar pesisir menerusi Petroleum Sarawak Berhad (Petros), kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh.
Beliau berkata, projek di bawah Pelan Tindakan Gas Sarawak berjalan mengikut jadual, dengan beberapa inisiatif utama kini berada pada tahap pelaksanaan lebih maju.
"Pelaburan berterusan oleh Petros, PETRONAS, Shell dan pengendali lain dalam aktiviti penerokaan dan pembangunan huluan membantu Sarawak memastikan keselamatan tenaga, memperluas pengeluaran domestik, serta meraih nilai lebih tinggi untuk rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya di Dewan Undangan Negeri Sarawak baru-baru ini.
Menurut Malcolm Mussen, dalam industri petrokimia hiliran, negeri turut mendapat manfaat daripada pembangunan huluan dan pertengahan yang kukuh.
Kompleks Metanol Sarawak bernilai RM7 bilion telah mengeksport kira-kira 750,000 metrik tan metanol ke pasaran utama termasuk China, Jepun, Korea Selatan, Vietnam, Indonesia dan India.
Katanya, ini menandakan kejayaan Sarawak memasuki rantaian nilai metanol global melalui daya saing dalam sektor petrokimia hiliran.
Dalam perkembangan berkaitan, pengembangan sektor O&G negeri turut merangsang pertumbuhan industri berkaitan, khususnya sektor pembuatan dan pembaikan kapal (SBSR).
Sarawak kini menjadi hab pembuatan kapal negara dengan kira-kira 60 daripada 100 galangan kapal di Malaysia beroperasi di negeri ini.
“Limbungan kapal telah memperluas keupayaan untuk memenuhi keperluan sektor minyak dan gas domestik serta aktiviti komersial dan rekreasi antarabangsa. Eksport global meningkat daripada RM345 juta pada 2021 kepada RM873 juta pada 2025,” katanya.
Beliau menambah industri SBSR Sarawak berada pada kedudukan baik untuk memasuki segmen bernilai tinggi, termasuk kapal berkuasa LNG, sistem hibrid dan penyelesaian kejuruteraan maritim maju, hasil sinergi kukuh antara pembangunan tenaga dan keupayaan maritim negeri.
Kejayaan ini sekaligus mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai pusat tenaga dan maritim utama di Malaysia, selain membuka peluang ekonomi dan pekerjaan dalam sektor hiliran yang berpotensi tinggi. - DagangNews.com








