Sarawak Energy giat kaji pelaksanaan hidro pam simpan, unjur pelaburan RM700 bilion tenaga hijau | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak Energy giat kaji pelaksanaan hidro pam simpan, unjur pelaburan RM700 bilion tenaga hijau

KUCHING 15 Sept - Sarawak Energy Bhd (SEB) sedang mempergiat kajian hidro pam simpan (pumped storage hydropower, PSH) sebagai sebahagian utama rancangan negeri itu untuk meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga sehingga 15 gigawatt (GW) menjelang 2035.

 

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata teknologi PSH akan meningkatkan kestabilan grid, menyokong pertumbuhan tenaga boleh baharu, membolehkan pengeluaran hidrogen hijau serta memberi fleksibiliti kepada sistem tenaga masa depan.

 

“Lawatan kajian ke Snowy Hydro di New South Wales, Australia, memberi kami pandangan praktikal tentang operasi dan pengawalseliaan skim hidro pam skala besar. Pengalaman panjang mereka dalam menjana dan menyimpan elektrik melalui kitaran air antara empangan banyak membantu penilaian kebolehlaksanaan di Sarawak,” katanya ketika berucap pada International Forum on Pumped Storage Hydropower 2025 anjuran Persatuan Hidro Kuasa Antarabangsa (IHA) di Paris minggu lalu.


 

Premier
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Opengberucap pada International Forum on Pumped Storage Hydropower 2025 anjuran Persatuan Hidro Kuasa Antarabangsa (IHA) di Paris pada 9 September 2025.

 


Sarawak telah mengenal pasti dua lokasi berpotensi bagi pembinaan fasiliti PSH antara Empangan Bakun dan Murum di daerah Belaga, Bahagian Kapit, selain sebuah lagi fasiliti dirancang di Padawan, Kuching.

 

SEB kini mengendalikan Empangan Bakun (2,400MW) dan Murum (944MW) yang membekalkan tenaga boleh baharu kepada industri tenaga intensif di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu.

 

Empangan Bakun baru-baru ini menjadi loji hidro pertama di Asia Tenggara yang mendapat pensijilan Hydropower Sustainability Standard (HSS), sekaligus mengiktiraf komitmen Sarawak terhadap pembangunan lestari. Ia juga memenangi IHA Blue Planet Prize 2025.


 

Bakun

 


Dalam ucaptama bertema “Driving the Energy Transition: Sarawak’s Roadmap for Renewable and Sustainable Growth”, Abang Johari berkata negeri itu menyasarkan RM700 bilion pelaburan serta 80,000 pekerjaan baharu menjelang 2050 melalui dasar peralihan tenaga Sarawak Energy Transition Policy (SET-P) yang berteraskan tujuh tonggak strategik.

 

“Lebih 75% manfaat pendapatan dijangka mengalir kepada kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana, menegaskan komitmen kami terhadap peralihan tenaga yang adil dan inklusif,” jelasnya.

 

Sarawak turut mengekalkan sasaran 10GW kapasiti penjanaan menjelang 2030 di bawah inisiatif “10-20-30”, dengan sekurang-kurangnya 60% daripada campuran tenaga disumbang oleh sumber boleh baharu termasuk hidro, solar dan biojisim. Projek hidro utama seterusnya, Empangan Baleh berkapasiti 1,280MW, dijangka siap pada 2028.

 

Selain itu, SEB sedang membangunkan ladang solar terapung 50MW dan akan memperluas penjanaan tenaga solar melalui pemasangan skala besar di darat dan terapung. Kajian hidro run-of-river di beberapa lembangan sungai turut mengenal pasti potensi sehingga 3GW.

 

Dalam agenda hidrogen, Sarawak melihat kerjasama dengan Siemens Energy AG bagi mempercepatkan teknologi elektroliser, turbin gas serta penyelidikan melalui Pusat Inovasi Siemens. Menurut Abang Johari, teknologi elektroliser Siemens mampu menghasilkan 350kg hidrogen sejam, berbanding kapasiti Sarawak ketika ini yang hanya 130kg sehari. - DagangNews.com