KUALA LUMPUR 28 April — Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat Sdn Bhd (WCE) menjelaskan, isu sambungan antara Seksyen 2 dan 4 berdekatan Taman Sentosa, Klang tergendala disebabkan tanah diambil alih oleh kerajaan di situ masih belum dikosongkan pemiliknya.
Operator konsesi lebuh raya tersebut berkata, isu yang mencetuskan kebimbangan banyak pihak itu melibatkan jajaran 300 meter di Seksyen 3 dan timbul akibat pertikaian berterusan mengenai pengosongan tanah yang telah pun sah dilaksanakan oleh kerajaan.
WCE berkata, walaupun pampasan sudah selesai dibayar syarikat itu kepada pemilik tanah yang terjejas, terdapat usaha untuk menangguhkan proses tersebut, termasuk permohonan Perintah Interim Kekal sebelum ditolak oleh pihak mahkamah sendiri baru-baru ini.
"Tanah tersebut sehingga kini, masih belum dikosongkan, menyebabkan sambungan jajaran lebuh raya itu tergendala namun WCE bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi memastikan proses pengosongan dapat dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan.
Syarikat itu berkata, isu bermula pada September 2023 apabila pampasan dibayar kepada pemilik tanah sebagai sebahagian proses pengambilalihan dengan Borang K dikeluarkan bagi memulakan proses pengosongan tanah berkenaan secara sah pada November 2023.
Bagaimanapun pemilik tanah tersebut memfailkan perintah interim pada Ogos 2024 untuk menangguhkan pengosongan tanah sebelum ditolak oleh mahkamah dan turut mengesahkan hak kerajaan untuk meneruskan pengambilalihan tanah pada April 2025.
Menjelaskan dengan lebih lanjut, WCE dalam kenyataan tersebut turut menegaskan, pihak syarikat mempunyai hak dari segi undang-undang sepenuhnya untuk melaksanakan proses pengosongan tanah sebagaimana yang diarahkan mahkamah.
"Kami juga komited untuk menyelesaikan isu ini mengikut lunas perundangan yang ditetapkan dan akan terus berusaha untuk menyiapkan jajaran seksyen ini dengan secepat mungkin selepas proses penguatkuasaan undang-undang diselesaikan," katanya.
Selain itu, WCE yang menguruskan projek lebuh raya sepanjang 233 kilometer tersebut akan terus memaklumkan kepada orang awam dan pihak berkepentingan mengenai perkembangan terkini isu tanah berkenaan. - DagangNews.com








