Samaiden yakin kenaikan harga panel solar tidak jejaskan margin, harga telah dikunci awal - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Samaiden yakin kenaikan harga panel solar tidak jejaskan margin, harga telah dikunci awal - MBSB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 8 Sept - Samaiden Group Bhd kekal optimis terhadap prospek perniagaannya meskipun wujud kebimbangan pasaran berhubung kenaikan harga panel solar secara global, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, syarikat kejuruteraan tenaga boleh diperbaharui itu menjangkakan kesan kenaikan harga panel adalah minimum terhadap margin keuntungan, hasil daripada strategi pengurusan kos dan perjanjian harga jangka panjang bersama pembekal utama.

 

"Langkah ini sekaligus memberi kelegaan kepada pelabur bahawa pelaksanaan projek berskala besar tidak akan terjejas, termasuk projek LSS5 dan utiliti di bawah skim CRESS," kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut pihak pengurusan Samaiden, sebahagian besar projek yang telah dimeterai sebelum ini telah menetapkan harga panel lebih awal, sekali gus melindungi margin keuntungan daripada sebarang lonjakan harga.

 

Tambahan pula, bagi projek-projek utiliti berskala besar yang sedang dalam peringkat pelaksanaan, syarikat telah mengadakan susunan khas bersama pengeluar panel solar, yang membolehkan fleksibiliti dari segi harga dan bekalan.

 

“Kenaikan harga panel solar susulan tindakan China mengawal persaingan harga tidak sihat dijangka tidak memberi kesan besar kepada projek kami, kerana banyak harga telah dikunci dan kami mempunyai kerjasama strategik dengan pengeluar,” kata pengurusan dalam satu taklimat baru-baru ini.

 


Projek LSS5 dan EPCC kukuh, sasaran RM1 bilion buku pesanan kekal

 

Menurut MBSB, Samaiden kini aktif melaksanakan projek-projek berskala besar termasuk di bawah program Large Scale Solar 5 (LSS5), di mana syarikat telah dianugerahkan pembangunan loji solar berkapasiti 99.99 megawatt (MW) di Pasir Mas, Kelantan.

 

Loji berkenaan akan membekalkan tenaga bersih kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 21 tahun, dengan tarikh operasi komersial dijangka pada Oktober 2027.

 

Setakat ini, Samaiden telah memperoleh kontrak kerja EPCC sebanyak 232.58MW di bawah LSS5, manakala buku pesanan semasa berjumlah RM699.2 juta, cukup untuk menyokong aliran hasil bagi tempoh dua tahun akan datang.

 

"Syarikat turut menyasarkan untuk mencapai RM1 bilion dalam jumlah buku pesanan menjelang tahun kewangan 2026 (FY26)," kata firma itu.

 

MBSB menambah, dalam masa sama, Samaiden juga sedang merancang pembangunan projek solar berskala utiliti di atas tanah seluas lebih 185 hektar yang diperoleh di Teluk Intan, Perak, berpotensi menyokong kapasiti melebihi 100MW.

 

Tanah tersebut dijangka dimanfaatkan untuk projek masa depan di bawah Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) atau fasa baharu LSS.

 

Bagi CRESS, syarikat telah menerima minat daripada sekitar 10 bakal pembeli tenaga korporat (offtakers), menunjukkan potensi pertumbuhan mampan dalam segmen bekalan tenaga korporat.

 

Samaiden juga sedang menjajaki peluang di bawah Community Renewable Energy Aggregation Scheme (CREAM), satu inisiatif yang membolehkan pemilik rumah menyewakan bumbung kepada pihak ketiga untuk pemasangan sistem solar fotovoltaik.

 

Setakat ini, syarikat telah memulakan perbincangan bersama dua pemaju hartanah utama untuk pelaksanaan skim tersebut, sebagai sebahagian daripada usaha memperluas penyertaan komuniti dalam tenaga boleh diperbaharui.

 

Dengan strategi bekalan panel yang mampan, projek utiliti yang terus berkembang, serta penglibatan aktif dalam skim nasional seperti LSS5, CRESS dan CREAM, Samaiden kekal sebagai pemain utama dalam landskap tenaga boleh diperbaharui Malaysia.

 

MBSB mengekalkan saranan BELI ke atas saham Samaiden dengan harga sasaran RM1.48 sesaham, dan menjangkakan pertumbuhan pendapatan lebih kukuh menjelang FY26. - DagangNews.com