Samaiden catat rekod FY2025, buku pesanan cecah RM699.2 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Samaiden catat rekod FY2025, buku pesanan cecah RM699.2 juta

Datuk Ir. Chow Pui Hee
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Samaiden Group Bhd menutup tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (TK2025) dengan rekod baharu didorong kemenangan kontrak utama dan pelaksanaan projek yang kukuh merentasi portfolionya.

 

Bagi suku keempat, hasil Samaiden melonjak 135.8% tahun ke tahun kepada RM134.95 juta berbanding RM57.23 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat 22% kepada RM7.07 juta daripada RM5.81 juta, disokong kemajuan stabil projek solar berskala utiliti. Keuntungan sebelum cukai turut naik 3.5% kepada RM8.39 juta.

 

Sepanjang tahun kewangan 2025, kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM353.6 juta dan PAT tertinggi sebanyak RM20.1 juta, menzahirkan daya tahan operasi serta peranan yang semakin berkembang dalam sektor tenaga bersih negara.

 

Pada masa sama, anak syarikat milik penuh Samaiden Sdn Bhd memperoleh kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM290 juta daripada Unique HEB Energy Sdn Bhd bagi projek solar berskala besar berkapasiti 95MWac di Hilir Perak di bawah program Large-Scale Solar 5 (LSS5).

 

Dengan anugerah baharu ini, buku pesanan belum dibil Samaiden melonjak ke paras rekod RM699.2 juta, memberikan keterlihatan hasil yang kukuh bagi tempoh mendatang.

 

“Prestasi rekod TK2025 mencerminkan kekuatan enjin pelaksanaan kami serta keyakinan rakan kongsi terhadap Samaiden,” kata Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Ir. Chow Pui Hee.

 

“Kemenangan kontrak LSS5 ini mengembangkan saluran projek dan meletakkan kami pada kedudukan baik untuk merebut permintaan yang semakin meningkat terhadap tenaga boleh diperbaharui.”

 

Chow turut mendedahkan Samaiden kini telah memperoleh lima projek di bawah skim LSS5 termasuk satu projek dibangunkan sendiri. Katanya, peluang tambahan sedang dirunding dan dijangka bakal mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan dalam agenda peralihan tenaga negara.

 

Selain projek berskala utiliti, Samaiden turut menyaksikan minat kukuh daripada pelanggan komersial dan industri terhadap penyelesaian solar bumbung dan sistem penyimpanan tenaga bateri, yang dapat mempelbagaikan aliran kerja serta mengukuhkan potensi pendapatan berulang.

 

Sehingga penutupan dagangan hari ini, saham Samaiden berada pada paras RM1.17 dengan modal pasaran berjumlah RM527 juta. - DagangNews.com