Samaiden catat lonjakan untung 90.5% pada Q2FY26, buku tempahan cecah RM600.5 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Samaiden catat lonjakan untung 90.5% pada Q2FY26, buku tempahan cecah RM600.5 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 26 Feb — Samaiden Group Berhad mencatat prestasi kewangan kukuh bagi suku kedua tahun kewangan 2026 (Q2FY26) berakhir 31 Disember 2025 apabila keuntungan selepas cukai melonjak 90.5% kepada RM9.03 juta berbanding RM4.74 juta pada suku sebelumnya.

 

Hasil kumpulan meningkat 28.4% kepada RM102.79 juta daripada RM80.05 juta pada S1 TK2026, didorong oleh percepatan aktiviti pembinaan serta peningkatan bil kemajuan daripada projek solar berskala utiliti yang sedang dilaksanakan.

 

Keuntungan sebelum cukai turut meningkat 64.9% kepada RM10.82 juta berbanding RM6.56 juta sebelumnya, mencerminkan momentum projek yang lebih baik serta sumbangan daripada projek dengan margin lebih sihat.

 

Pengarah Urusan Kumpulan, Chow Pui Hee berkata, peningkatan prestasi itu mencerminkan pelaksanaan projek di tapak yang lebih mantap dan kemajuan konsisten merentasi projek utama syarikat.

 

“Walaupun berlaku kenaikan harga panel solar baru-baru ini, impaknya terhadap kumpulan adalah minimum hasil perancangan perolehan awal, strategi sumber yang berkesan dan pengurusan kos berdisiplin,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Disokong inisiatif RE nasional

Beliau berkata, sektor tenaga boleh baharu (RE) negara terus menawarkan peluang pertumbuhan kukuh, disokong pelbagai inisiatif dasar termasuk Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), Tarif Galakan 3.0 (FiT 3.0) serta Program Tindakan Peralihan Dipercepatkan Solar (Solar ATAP) yang diperkenalkan susulan tamatnya program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM).

 

Sehingga 31 Disember 2025, buku tempahan Samaiden berjumlah RM600.5 juta, menyediakan asas pendapatan yang kukuh bagi tempoh kewangan akan datang.

 

Dengan saluran projek yang merangkumi CRESS, LSS5+, Program Tenaga Hijau Korporat serta projek solar bumbung, kumpulan berada pada kedudukan strategik untuk terus memanfaatkan pertumbuhan sektor tenaga boleh baharu yang semakin berkembang di Malaysia. - DagangNews.com