KUALA LUMPUR 19 Mei — Samaiden Group Berhad membatalkan surat penganugerahan (LOA) kontrak yang diterimanya daripada BTM Resources Berhad untuk pembinaan loji tenaga biojisim 10 megawatt (MW).
Keputusan tersebut susulan pengumuman BTM Resources sehari sebelumnya membatalkan rancangannya bagi membangunkan loji itu kerana penarikan kemudahan perbankan yang dijamin untuk projek berkenaan.
Terdahulu, tender bernilai RM115.6 juta di Teluk Kalong, Terengganu itu pada mulanya diberikan oleh anak syarikat milik penuh BTM Resources iaitu BTM Biomass Products Sdn Bhd kepada Samaiden Sdn Bhd.
Samaiden menyatakan penamatan itu mematuhi semua peruntukan LOA dan dijangka tiada kesan kewangan ketara ke atas pendapatan sesaham disatukan syarikat atau aset bersih sesaham untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY2025). - DagangNews.com








