Saham Reach Ten naik 4.81% pada penampilan sulung di Pasaran ACE mendahului saham aktif lain | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Reach Ten naik 4.81% pada penampilan sulung di Pasaran ACE mendahului saham aktif lain

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 2 Mei — Penyedia perkhidmatan telekomunikasi, Reach Ten Holdings Berhad membuat permulaan yang baik pada penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini dengan dagangannya naik 2.5 sen daripada tawaran awam permulaan (IPO) 52 sen sesaham.

 

Syarikat yang berpangkalan di Sarawak itu ketika loceng pembukaan bursa pada pukul 9 pagi mencatatkan sebanyak 4.81 peratus lebih tinggi kepada 54.5 sen selepas 79.39 juta sahamnya selesai diniagakan, menjadikannya kaunter paling aktif didagangkan di pasaran domestik.


Berdasarkan rancangan pengembangannya, Reach Ten akan melabur RM89.3 juta atau 85.9 peratus daripada RM104 juta hasil IPO tersebut untuk memperluaskan infrastruktur telekomunikasi  termasuk pembinaan 100 menara baharu 4G dan 5G baharu di Miri, Sibu dan Bintulu.


Pengarah Urusannya, Leo Chin berkata, menara-menara itu akan dibina dalam tempoh tiga tahun akan datang serta terletak secara strategik di kawasan berbandar yang merupakan hab komersil dan pembuatan utama, untuk memenuhi permintaan sambungan berkelajuan tinggi.


“Usaha ini bukan sahaja akan memenuhi keperluan sambungan internet segera yang semakin meningkat tetapi juga meletakkan asas bagi inisiatif bandar pintar Sarawak, termasuk sistem trafik pintar serta perkhidmatan digital,” katanya dalam satu kenyataan. 


Sementara itu, Rakuten Trade berkata, pengembangan Reach Ten bukan sahaja memenuhi permintaan untuk sambungan berkelajuan tinggi, malah membolehkan kumpulan itu mendapat manfaat daripada nisbah penyewaan yang lebih tinggi di kawasan luar bandar.


Firma penyelidikan tersebut menambah, menara-menara berkenaan secara kelazimannya dipajak kepada pengendali rangkaian mudah alih (MNO) di bawah perjanjian berbilang tahun


"Kami mengunjurkan Reach Ten untuk melaporkan pendapatan bersih teras sebanyak RM50.2 juta dan RM53.2 juta untuk FY25 dan FY26 serta meletakkan saranan 'Beli' dengan nilai saksama 65 sen," katanya dalam satu nota kajian. - DagangNews.com