Saham Press Metal berpotensi catat kenaikan seterusnya walaupun telah mengukuh 2025, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Press Metal berpotensi catat kenaikan seterusnya walaupun telah mengukuh 2025, kata RHB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 26 Jan - Saham Press Metal Aluminium Holdings Bhd berpotensi mencatat kenaikan seterusnya walaupun saham kumpulan itu telah mencatat kenaikan kukuh sepanjang 2025, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata potensi kenaikan itu didorong oleh nisbah kos aluminium kepada alumina yang kekal menguntungkan dalam keadaan harga aluminium semasa.

 

"Pada masa ini, saham Press Metal diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 22 kali bagi FY26F, iaitu sejajar dengan purata tiga tahun syarikat tersebut. 

 

"Penilaian ini dianggap menarik memandangkan prospek industri aluminium yang kukuh, sekali gus menyokong prospek keuntungan syarikat dalam tempoh sederhana," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sehubungan itu RHB turut menyemak semula unjuran pendapatan syarikat bagi FY25 hingga FY27 dengan jangkaan kenaikan masing-masing sekitar 5%, 17% dan 18%. 

 

Semakan ini dibuat bagi mencerminkan andaian harga aluminium yang lebih tinggi serta unjuran kadar pertukaran AS$/RM dalaman yang lebih menggalakkan.

 

Menurut RHB, pihaknya mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam unjuran harga jangka sederhana, dengan menyemak semula andaian harga aluminium London Metal Exchange (LME) kepada USD2,950 setan bagi FY26F dan USD2,850 setan bagi FY27F, berbanding USD2,700 setan sebelum ini.

 

Kata firma itu, meskipun harga spot aluminium ketika ini berada pada paras tinggi sekitar AS$3,000 hingga AS$3,100 setan dan berpotensi berterusan dalam tempoh terdekat susulan momentum pasaran semasa, unjuran yang lebih konservatif diambil bagi mencerminkan ketidaktentuan pasaran global.

 

Dalam pada itu, tinjauan terhadap pasaran alumina kekal menggalakkan. Harga alumina telah merosot sebanyak 54% tahun ke tahun (YoY) kepada sekitar AS$310 setan, menjadikannya hanya menyumbang kira-kira 10% hingga 11% daripada harga aluminium keseluruhan.

 

Bagi 2026, harga alumina dijangka kekal pada paras yang menguntungkan, disokong oleh kemasukan kapasiti baharu sebanyak 4 juta tan setahun di Bintan. 

 

Pada masa sama, harga bauksit — yang membentuk kira-kira 50% daripada kos pengeluaran alumina — turut menunjukkan trend menurun, dengan penurunan 13% YoY pada 2025 dan susut 2% setakat tahun ke tarikh (YTD) 2026.

 

RHB Research mengekalkan saranan BELI ke atas Press Metal dengan harga sasaran (TP) baharu sebanyak MYR8.50, meningkat daripada MYR7.30 sebelum ini, yang mencerminkan potensi kenaikan sekitar 15% serta hasil dividen dianggarkan sekitar 1%.

 

Menurut firma tersebut, Press Metal berada pada kedudukan yang kukuh untuk mencatat pertumbuhan pendapatan yang mantap pada tahun kewangan 2026 (FY26F). 

 

Firma itu turut berpandangan harga aluminium akan terus disokong dalam jangka masa terdekat, dipacu oleh kelemahan dolar Amerika Syarikat, harga tembaga yang berada pada paras tinggi, serta keadaan bekalan aluminium global yang ketat. - DagangNews.com