KUALA LUMPUR 25 Ogos - Saham FGV Holdings Bhd (FGV) akan disenarai keluar daripada Bursa Malaysia pada Khamis ini menandakan berakhir secara rasmi proses pengambilalihan penuh oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, FGV memaklumkan bahawa seluruh modal saham terbitannya akan dikeluarkan daripada senarai bursa berkuat kuasa pukul 9 pagi, 28 Ogos ini.
Felda sebelum ini mengumumkan telah berjaya menguasai 94.97% pegangan dalam FGV selepas berakhir tawaran pengambilalihan tanpa syarat pada 15 Ogos lalu yang turut menyebabkan saham FGV digantung daripada dagangan pada 22 Ogos lalu.
Felda kemudian mengeluarkan notis kepada pemegang saham yang tidak bersetuju, memberikan tempoh sehingga 15 Januari 2026 untuk menjual baki saham mereka pada harga RM1.30 sesaham.
FGV yang disenaraikan pada 2012 sebagai salah satu IPO minyak sawit terbesar dunia, kini kembali sepenuhnya di bawah kawalan Felda.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan langkah itu membolehkan rancangan penstrukturan semula dilakukan dengan mengutamakan kepentingan peneroka Felda.
Agensi media asing sebelum ini melaporkan selain daripada aspek pemilikan, langkah nyahsenarai itu dapat menutup cabaran yang dihadapi FGV, termasuk larangan import dari Amerika Syarikat sejak 2020 berikutan dakwaan amalan buruh paksa.
Langkah ini memberi ketelusan korporat kepada pelabur serta memastikan FGV dapat menumpukan operasi strategik tanpa pengaruh pasaran saham, selari dengan visi Felda untuk memperkukuh pengurusan aset perladangan jangka panjang. - DagangNews.com








