KUALA LUMPUR 27 Feb — S P Setia Berhad (SP Setia) mencatatkan jualan kumpulan berjumlah RM5.11 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025), melepasi sasaran tahunan RM4.8 bilion dengan pertumbuhan 2% berbanding RM5.02 bilion pada tahun sebelumnya.
Prestasi itu mencerminkan pelaksanaan konsisten merentas portfolio pembangunan syarikat, dengan projek domestik menyumbang RM3.0 bilion atau 59% daripada jumlah jualan keseluruhan.
Wilayah Tengah dan Selatan kekal menjadi pemacu utama, masing-masing menyumbang RM2.0 bilion dan RM0.9 bilion. Projek antarabangsa pula menyumbang RM0.7 bilion atau 14% daripada jumlah jualan, menzahirkan kepelbagaian portfolio serta keupayaan penyampaian berterusan di pasaran luar negara.
Bagi suku keempat FY2025 (4QFY2025), SP Setia merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM471 juta dengan hasil RM1.6 bilion, dipacu sumbangan lebih tinggi daripada pembangunan domestik khususnya di Wilayah Tengah dan Selatan, selain transaksi tanah strategik.
Prestasi itu turut disokong oleh kecekapan kos hasil pengurusan berdisiplin dan penutupan projek yang efektif, walaupun sebahagiannya diimbangi oleh pelarasan susut nilai inventori.
Secara keseluruhan bagi FY2025, kumpulan mencatatkan hasil RM4.2 bilion dengan PBT RM969 juta. Keuntungan itu didorong pembangunan hartanah tempatan serta transaksi tanah strategik, di samping margin pembangunan yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
Menurut syarikat, hasil FY2024 adalah lebih tinggi berikutan sumbangan transaksi tanah utama serta penyerahan projek siap berskala besar di Australia dan Vietnam.
Namun begitu, FY2025 menyaksikan normalisasi keuntungan melalui margin pembangunan yang lebih kukuh meskipun hasil keseluruhan lebih rendah.
Dalam tempoh sama, SP Setia turut mengurangkan tahap pinjaman dan menambah baik nisbah gearan bersih semasa kepada 0.33 kali, selaras strategi pengurangan hutang kumpulan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaini Yusoff berkata, prestasi suku tersebut mencerminkan pelaksanaan berdisiplin, model operasi berdaya tahan serta fokus berterusan terhadap pembangunan berkualiti.
“Walaupun persekitaran pasaran kekal mencabar, asas kumpulan adalah kukuh. Kami kekal optimis secara berhati-hati dan akan terus memperkukuh kehadiran dalam segmen pertumbuhan tinggi serta membina nilai mampan jangka panjang untuk pemegang kepentingan,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas prospek, SP Setia menjangkakan langkah dasar menyokong termasuk lanjutan pengecualian duti setem serta insentif pemilikan rumah di bawah Belanjawan 2026 Malaysia MADANI mampu merangsang permintaan pasaran.
Selain itu, kadar dasar semalaman (OPR) yang lebih rendah dijangka meningkatkan kemampuan pembeli dan memperbaiki sentimen pasaran hartanah secara keseluruhan.
Di peringkat antarabangsa, projek Setia Edenia di perbandaran EcoXuan, Bandar Raya Ho Chi Minh, Vietnam dengan nilai pembangunan kasar (GDV) AS$81 juta (RM381.1 juta) berada di landasan untuk siap pada 2027 dan dijangka menjadi mercu tanda baharu di koridor utara bandar tersebut.
Bagi FY2026, kumpulan menyasarkan jualan RM4.6 bilion, mencerminkan pendekatan pertumbuhan terukur dan fokus pelaksanaan berterusan dalam usaha menjana nilai mampan kepada pemegang saham. - DagangNews.com








