RUU Perolehan Kerajaan 2025: Selain Menteri, pegawai sudah bersara boleh dikenakan tindakan, kata Amir Hamzah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RUU Perolehan Kerajaan 2025: Selain Menteri, pegawai sudah bersara boleh dikenakan tindakan, kata Amir Hamzah

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 8 Sept - Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan 2025 (RUU PK) apabila dikuatkuasakan secara perundangan boleh mengambil tindakan tatatertib terhadap semua pihak yang terbabit dalam proses perolehan termasuk Menteri, pegawai pengawal dan pegawai yang telah bersara.

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, tindakan ini penting agar tiada ruang untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab.

 

Katanya, dengan dikuatkuasakan secara perundangan, RUU PK adalah terpakai kepada; pertama, semua pihak yang mentadbir dan menjalankan perolehan Kerajaan, iaitu setiap pegawai pengawal dan penjawat awam.

 

"Kedua: semua yang menyertai perolehan Kerajaan, iaitu pembekal barangan, penyedia perkhidmatan dan kontraktor kerja; dan ketiga: mana-mana orang lain yang terlibat dalam urusan perolehan Kerajaan, termasuk pihak pembuat keputusan.

 

"Maka, nyatalah bahawa RUU ini meliputi semua pihak yang terlibat dalam proses perolehan, sama ada Menteri, pegawai pengawal, mahupun pegawai yang telah bersara, agar tiada ruang untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab," katanya dalam ucapan penggulungan RUU PK 2025 di Dewan Negara hari ini.

 

Amir Hamzah berkata, harus difahami bahawa bahawa pada masa ini, sebarang ketidakpatuhan tatacara perolehan hanya dapat dikenakan secara tindakan tatatertib atas pegawai dalam perkhidmatan berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan Tatatertib) 1993 manakala sekiranya berlaku kerugian wang awam, pegawai awam terlibat boleh dikenakan tindakan surcaj selaras Seksyen 18, Akta Tatacara Kewangan 1957.

 

"Tndakan tatatertib tidak dapat dikenakan atas pegawai yang telah bersara, pegawai yang telah menamatkan perkhidmatan, syarikat yang bertanggungjawab, atau mana-mana orang yang terlibat dalam urusan perolehan Kerajaan," katanya.

 

Antara Bentuk Kesalahan

 

Beliau menambah, antara bentuk kesalahan yang tertakluk kepada tindakan punitif di bawah RUU PK ini termasuklah pemindahan pemberian perolehan atau kontrak kepada pihak ketiga tanpa izin [Fasal 35].

 

Selain itu, kegagalan untuk menzahirkan kepentingan oleh individu yang terlibat secara langsung dalam pengurusan perolehan Kerajaan [Fasal 37];

 

"Campur tangan luar yang mengganggu proses perolehan [Fasal 38]; dan pemalsuan dokumen atau pengemukaan maklumat palsu, sama ada oleh pembekal atau mana-mana pihak yang terlibat dalam proses perolehan [Fasal 82]," katanya.

 

Amir Hamzah berkata, tindakan punitif bagi pelanggaran RUU PK ini bergantung kepada jenis kesalahan, dan boleh merangkumi denda atau tindakan undang-undang sekiranya disabitkan. 

 

Contohnya ujar beliau, kesalahan memindah pemberian perolehan atau kontrak perolehan termasuk mencegah gejala rent-seeking boleh dijatuhi hukuman denda tidak kurang tiga kali ganda nilai pemberian atau kontrak perolehan Kerajaan atau satu juta ringgit, yang mana lebih tinggi atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

 

Katanya, keberkesanan penguatkuasaan tindakan punitif ini pula diperkukuh melalui mekanisme pemantauan yang teliti serta kerjasama erat antara Kementerian Kewangan dengan agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC). 

 

Beliau berkata, usaha ini bukan sahaja memastikan proses perolehan bebas daripada salah guna kuasa dan penyelewengan malah turut memperkukuh keyakinan rakyat terhadap system perolehan Kerajaan yang lebih berintegriti.

 

"Tambahan lagi, melalui Fasal 44 RUU ini, pegawai perolehan wajib melaporkan kepada agensi penguatkuasaan sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang. 

 

"Peruntukan ini berfungsi sebagai peringatan berterusan kepada semua pihak yang terlibat, bagi mencegah sebarang kecurangan dalam proses perolehan Kerajaan," katanya.

 

Tidak Dibawa Secara Tergesa-Gesa

 

Mengulas pertanyaan yang membangkitkan bahawa RUU ini dibawa secara tergesa-gesa, Amir Hamzah berkata, usaha Kerajaan untuk menggubal RUU Perolehan Kerajaan telah bermula sejak tahun 2018 sebagai langkah reformasi institusi demi menjaga kepentingan rakyat. 

 

Namun katanya, tergendala seketika disebabkan oleh pertukaran pentadbiran Kerajaan pada tahun 2020 sehingga November 2022. 

 

Jelasnya, semenjak Kerajaan MADANI mengambil alih tampuk pentadbiran, usaha ini disambung semula sebagai bukti komitmen dan kesungguhan Kerajaan ini terhadap ketelusan dalam tatakelola kewangan Kerajaan.

 

"Kementerian Kewangan telah melaksanakan pelbagai sesi libat urus sejak tahun 2023 di Putrajaya dan di setiap negeri, Badan-Badan Berkanun, Syarikat Milik Kerajaan, ahli-ahli akademik dan badan-badan antarabangsa dengan penyertaan lebih 2,600 peserta. Sesi tersebut turut melibatkan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pertubuhan-pertubuhan lain antaranya C4, IDEAS, Transparency International, Rasuah Busters dan pertubuhan-pertubuhan lain. 

 

"RUU ini juga telah dibentangkan dalam Mesyuarat Pegawai Kewangan Negeri, Mesyuarat Majlis Kewangan Negara serta Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan seperti yang dikehendaki dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

 

Amir Hamzah berkata, susulan itu, input dan maklum balas yang diperoleh sepanjang sesi libat urus telah diperhalusi dengan teliti semasa penyediaan RUU PK ini. 

 

Antara yang telah diambil kira dalam peruntukan dan penggubalan RUU PK adalah: 

 

(i) Pengawalseliaan penggunaan dana awam dengan lebih terperinci dan berdisiplin;

 

(ii) Memperkenalkan reward and punishment dalam peruntukan RUU PK;

 

(iii) Memastikan bahawa satu platform semak dan imbang untuk memastikan pihak yang terkilan mempunyai ruang untuk membuat bantahan;

 

(iv) Penzahiran keputusan dan kepentingan dijadikan sebagai satu perkara mandatori; dan

 

(v) Memastikan perolehan Kerajaan menyokong dasar dan juga perkembangan ekonomi dan sosial semasa.

 

Tidak Menambah Kuasa Menteri Kewangan

 

Amir Hamzah turut mengulangi bahawa RUU PK tidak tidak sama sekali menambah kuasa, sebaliknya telah digubal untuk mengehadkan kuasa Menteri Kewangan. 

 

"Hakikatnya selama ini, kuasa Menteri Kewangan dalam hal ehwal perolehan telah diperuntukkan di bawah Akta Tatacara Kewangan 1957, yang memberi kuasa mutlak atas dasar, kelulusan dan pengecualian berkaitan perolehan Kerajaan. 

 

"Namun begitu, melalui RUU PK ini, kuasa Menteri Kewangan telah diperketatkan dengan memperkenalkan peruntukan spesifik di bawah RUU PK, iaitu kehendak penzahiran di bawah Fasal 37, cabaran keputusan melalui mekanisme semak dan imbang di bawah Fasal 61 dan Fasal 63, dan juga Menteri Kewangan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Fasal 38 sekira wujudnya elemen gangguan kepada proses perolehan Kerajaan," katanya. - DagangNews.com