RM20 bilion dijimat hasil pengukuhan fiskal, pengurusan berhemat kerajaan – MOF | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RM20 bilion dijimat hasil pengukuhan fiskal, pengurusan berhemat kerajaan – MOF

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 8 Okt - Langkah pengukuhan fiskal dan pengurusan kewangan kerajaan secara berhemat telah menjimatkan lebih RM20 bilion dalam tempoh dua tahun, menurut Kementerian Kewangan di Parlimen hari ini.

 

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk mengurangkan defisit sejak tahun 2022.

 

“Kadar defisit sebanyak 6.4 peratus pada tahun 2021 telah berjaya diturunkan kepada 4.11 peratus pada 2024,” katanya.

 

Menurutnya, penurunan kadar defisit itu bermaksud pinjaman baharu kerajaan turut berkurangan, daripada RM99.4 bilion pada 2022 kepada RM92.6 bilion pada 2023, dan seterusnya RM76.8 bilion pada tahun lalu.

 

“Ini menunjukkan penjimatan lebih RM20 bilion bagi kerajaan dalam tempoh dua tahun,” jelas Lim semasa sesi penggulungan jawapan kementerian ketika perbahasan Laporan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Beliau menambah bahawa pengurusan pinjaman secara berhemat membolehkan perbelanjaan kerajaan tertumpu kepada sektor pembangunan strategik seperti infrastruktur, kesihatan, pendidikan dan perlindungan sosial.

 

Mengenai hutang kerajaan, Lim berkata jumlahnya kini mencecah RM1.3 trilion setakat Jun tahun ini, namun masih berada di bawah had statutori yang dibenarkan.

 

Beliau turut mempertahankan tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menjejaki dan menggeledah premis golongan berkemampuan tinggi yang disyaki terlibat dalam pengelakan cukai.

 

“Saya ingin jelaskan, penguatkuasaan oleh LHDN adalah berasaskan undang-undang cukai tanpa mengira status pembayar cukai,” tegasnya.

 

Bagi pembayar cukai yang culas, katanya, tindakan sivil akan diambil bagi mendapatkan semula tunggakan cukai, selain sekatan perjalanan ke luar negara boleh dikenakan terhadap mereka.

 

Lim turut memaklumkan, akaun belum terima LHDN telah berjaya dikurangkan kepada RM6.47 bilion setakat 31 Ogos tahun ini, dan kerajaan akan terus berusaha mengutip serta menguruskan jumlah tersebut melalui kaedah pentadbiran atau tindakan undang-undang.

 

Tambahnya, LHDN juga telah menulis hapus RM337.14 juta daripada akaun belum terima pada tahun lalu disebabkan kematian pembayar cukai, kebankrapan, atau pembubaran syarikat- DagangNews.com