KUALA LUMPUR 5 Mac - Dianggarkan RM12.7 bilion wang tidak dituntut (WTD) milik orang ramai setakat 31 Januari 2025, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, individu yang layak atau waris mereka boleh menuntut WTD dengan mengemukakan permohonan mereka secara dalam talian melalui https://egumis.anm.gov.my/ atau melawat kaunter di Jabatan Akauntan Negara (JANM) di setiap negeri.
"Kaedah untuk pengesahan dan tuntutan boleh dirujuk di portal eGUMIS JANM atau di kaunter JANM," katanya dalam jawapan bertulis Parlimen kepada soalan S. Kesavan (PH-Sungai Siput) berhubung jumlah semasa WTD dan proses tuntutan wang itu.
Anwar menambah, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk memaklumkan pemilik WTD dan waris mereka mengenai wang tidak dituntut itu.
"Ini termasuk kempen kesedaran di acara kerajaan dan swasta seperti program Madani Rakyat, hari terbuka, dan hari khidmat pelanggan anjuran jabatan kerajaan masing-masing.
“Usaha ini bertujuan membolehkan orang ramai menyemak sama ada mereka mempunyai dana yang tidak dituntut.
“Sehingga 2024, sebanyak 158 reruai dan program kesedaran telah diadakan di seluruh Malaysia bagi memaklumkan kepada orang ramai tentang kewujudan WTD dan cara menuntutnya,” tambahnya.

Anwar berkata taklimat dalam talian kerap diadakan untuk agensi kerajaan dan swasta bagi menjelaskan prosedur untuk menyemak dan memohon tuntutan WTD.
Bagi meluaskan perkhidmatan sedemikian, JANM membuka kaunter permohonan WTD di 24 pejabat JANM negeri dan cawangan di seluruh negara, termasuk satu di Putrajaya dan UTC Pudu, membolehkan orang ramai menyemak dan mengemukakan tuntutan, kata Perdana Menteri.
“Sebagai sebahagian daripada usaha meluaskan penyebaran maklumat kepada orang ramai, JANM juga telah berkongsi pelbagai maklumat melalui crawler dan saluran TV nasional,” katanya. - DagangNews.com








