KUALA LUMPUR 22 Mei - Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan rizab antarabangsa negara berjumlah AS$129.5 bilion setakat 15 Mei 2026, sedikit rendah berbanding AS$129.7 bilion yang direkodkan pada 30 April lalu.
Bank pusat itu berkata, kedudukan rizab berkenaan mencukupi untuk membiayai 4.6 bulan import barangan dan perkhidmatan selain bersamaan 0.9 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek negara.
Menurut kenyataan itu, komponen utama rizab antarabangsa terdiri daripada rizab mata wang asing sebanyak AS$113.5 bilion.
Selain itu, pegangan rizab dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berjumlah AS$1.3 bilion, hak pengeluaran khas (SDR) sebanyak AS$5.9 bilion dan emas bernilai AS$6.4 bilion. Aset rizab lain pula berjumlah AS$2.4 bilion.
Sementara itu, Bank Negara Malaysia berkata jumlah asetnya berjumlah RM610.32 bilion yang terdiri terutamanya daripada emas, aset kewangan asing dan rizab lain termasuk hak pengeluaran khas (SDR) sebanyak RM522.55 bilion.
Selain itu, aset BNM turut merangkumi sekuriti kerajaan Malaysia bernilai RM13.10 bilion, deposit dengan institusi kewangan sebanyak RM1.097 bilion, pinjaman dan pendahuluan RM28.92 bilion, hartanah dan peralatan RM4.55 bilion serta aset lain berjumlah RM40.10 bilion.
BNM berkata modal dan liabilitinya turut berjumlah RM610.32 bilion yang terdiri daripada modal sebanyak RM100 juta dan rizab RM96.22 bilion.
Komponen lain termasuk mata wang dalam edaran sebanyak RM183.66 bilion, deposit institusi kewangan RM112.58 bilion, deposit kerajaan Persekutuan RM9.52 bilion dan deposit lain berjumlah RM70.51 bilion.
Menurut BNM, jumlah itu turut merangkumi kertas Bank Negara bernilai RM7.59 bilion, peruntukan hak pengeluaran khas sebanyak RM26.38 bilion serta liabiliti lain berjumlah RM3.76 bilion. - DagangNews.com








