Risiko hutang luar negara kekal terurus - Kementerian Kewangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Risiko hutang luar negara kekal terurus - Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR 19 Nov - Risiko keseluruhan hutang luar Malaysia kekal terurus, disokong oleh profil kematangan dan mata wang yang menggalakkan, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

 

MOF berkata hutang luar berjumlah RM1.4 trilion, atau 69.4% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada akhir suku ketiga 2025 (3Q2025).

 

Paras tersebut katanya, adalah terkawal dan tidak memudaratkan prospek ekonomi negara.

 

Tambah MOF, berdasarkan Rangka Kerja Kemampanan Hutang Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), risiko hutang luar boleh menjadi memudaratkan jika disertai dengan hutang jangka pendek yang besar, pendedahan pinjaman mata wang asing yang tinggi dan defisit akaun semasa dalam imbangan pembayaran.

 

“Risiko ini tidak wujud dalam konteks Malaysia.

 

“Dari segi tempoh matang hutang, 56.9% daripada hutang luar setakat 3Q2025 terdiri daripada hutang jangka sederhana dan panjang, yang mengehadkan risiko pembiayaan semula,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.

 

Kementerian itu menjawab soalan daripada Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai langkah konkrit yang diambil kerajaan untuk memastikan keupayaan negara menghadapi hutang luar, memandangkan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) setakat Ogos 2025 hanya mampu menampung keperluan import selama 4.8 bulan dan 0.9 kali hutang luar jangka pendek.

 

Setakat 31 Okt 2025, rizab antarabangsa BNM berjumlah US$123.8 bilion (RM521.6 bilion), melebihi ambang kecukupan minimum antarabangsa selama tiga bulan, dan 0.9 kali jumlah hutang luar jangka pendek.

 

Rizab antarabangsa juga kekal mencukupi pada kadar 104% menurut metrik Penilaian Kecukupan Rizab IMF, yang mengambil kira pelbagai aspek kecukupan rizab secara lebih menyeluruh.

 

MOF berkata hutang luar kerajaan persekutuan adalah kecil dan kekal rendah, pada kurang daripada tiga peratus daripada jumlah hutang luar berdenominasi mata wang asing.

 

“Sebahagian besar hutang luar kerajaan persekutuan didenominasikan dalam ringgit, yang dilindungi daripada risiko mata wang,” katanya.

 

MOF menegaskan rizab antarabangsa bukan satu-satunya cara untuk memenuhi obligasi luar seperti pembayaran balik hutang luar.

 

Berikutan liberalisasi dasar pertukaran asing secara beransur-ansur, ia berkata syarikat korporat dan institusi kewangan Malaysia telah membina pegangan aset luar bukan rizab yang besar, yang boleh digunakan untuk memenuhi komitmen kewangan dalam mata wang asing tanpa bergantung sepenuhnya pada rizab antarabangsa.

 

Dari perspektif ketahanan luaran, MOF berkata Malaysia juga mempunyai aset luar mata wang asing bukan rizab yang besar. Ini menyokong kedudukan pelaburan antarabangsa bersih positif Malaysia sebanyak RM77.3 bilion, atau 3.9% daripada KDNK pada akhir 3Q2025.

 

“Oleh itu, Malaysia terus mengekalkan kedudukannya sebagai negara pemiutang bersih,” tambah MOF. - BERNAMA