KUALA LUMPUR 9 Feb - Asas ekonomi yang kukuh, digabungkan dengan ledakan global kecerdasan buatan (AI) akan meletakkan ringgit pada kedudukan terbaik untuk mengatasi prestasi mata wang serantau pada 2026, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan itu berkata, eksport elektronik dijangka kekal mampan, menyumbang kepada penambahbaikan imbangan perdagangan negara, manakala pembangunan pusat data terus menarik aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang signifikan.
"Keputusan kewangan suku keempat 2025 (4Q25) dijangka menjadi penanda aras penting dalam menentukan hala tuju prestasi korporat dan pasaran ekuiti Malaysia bagi tahun kewangan 2026 (FY26), disokong oleh latar belakang makroekonomi yang kukuh serta momentum pasaran yang terus positif," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut Maybank IB, musim pendapatan 3Q25 sebelum ini mencatat prestasi memberangsangkan dengan lebih banyak syarikat mengatasi jangkaan, sekali gus meletakkan asas yang kukuh menjelang pengumuman keputusan 4Q25.
Katanya, kira-kira 42% unjuran firma itu adalah sejajar dengan konsensus pasaran, 36% melebihi jangkaan manakala 21% berada di bawah jangkaan.
"Kebanyakan sektor dijangka mencatat prestasi lebih baik pada 4Q25, dengan sebarang penyimpangan utama berkemungkinan dipengaruhi oleh kesan pertukaran asing susulan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat sepanjang suku tersebut," kata firma itu.
Dari sudut makroekonomi, kata Maybank IB, anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia bagi 4Q25 menunjukkan pertumbuhan kukuh melebihi 5%, iaitu sekitar 5.7% tahun ke tahun, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, perbelanjaan pengguna yang stabil serta kitaran pelaburan yang berterusan.
Angka rasmi KDNK bagi suku keempat dan tahun penuh 2025 dijadualkan diumumkan pada 13 Februari 2026.
Dari perspektif sektor, beberapa industri dijangka mencatat prestasi bermusim lebih kukuh pada 4Q25, termasuk automotif, penerbangan, pengguna, pelabuhan dan logistik serta amanah pelaburan hartanah (REIT).
Sektor penerbangan dijangka mendapat manfaat tambahan daripada pengukuhan ringgit dan penurunan harga bahan api jet.
Sektor pembinaan dan kejuruteraan mekanikal dan elektrik (M&E) turut dijangka mencatat prestasi lebih baik hasil perolehan projek baharu, manakala sektor penjagaan kesihatan dan hartanah berpotensi mencatat pemulihan prestasi susulan pengurangan tekanan kos dan peningkatan bil kemajuan.
Bagaimanapun, sektor teknologi dan perladangan dijangka menunjukkan keputusan bercampur, dipengaruhi oleh turun naik mata wang dan pergerakan harga komoditi.
Sektor utiliti, tenaga boleh diperbaharui dan telekomunikasi pula dijangka mencatat pendapatan yang lebih stabil, dengan potensi peningkatan dividen bagi pemain jalur lebar tetap.
Sektor perbankan dijangka melaporkan keputusan sejajar jangkaan, namun tumpuan pelabur tertumpu kepada strategi pengurusan modal, khususnya berkaitan pembayaran dividen yang lebih tinggi.
Dari sudut pasaran, Maybank IB berkata, FBM KLCI mencatat paras tertinggi 1,771 pada Januari 2026, mencerminkan sentimen pelabur yang semakin positif.
Walaupun sasaran akhir tahun dikekalkan pada paras 1,730, pasaran dijangka kekal disokong oleh kecairan yang lebih baik, keyakinan terhadap dasar kerajaan serta peningkatan semula aliran masuk dana asing ke pasaran sedang pesat membangun.
Seiring itu, Maybank IB mengekalkan tumpuan kepada saham berkapitalisasi besar sebagai pilihan utama, dengan penambahan PBK ke dalam senarai saham pilihan, manakala NE dikeluarkan, selari dengan strategi pelaburan bagi menghadapi FY26. - DagangNews.com








