KUALA LUMPUR 26 Sept - Pelan Regularisasi Vantris Energy Berhad telah selesai sepenuhnya selepas semua syarat terdahulu (Conditions Precedent) bagi Tarikh Berkuatkuasa Penstrukturan dipenuhi, menurut kenyataan MBSB Investment Bank Berhad (dahulu dikenali sebagai MIDF Amanah Investment Bank Berhad).
Dalam makluman di Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, pelan penstrukturan semula Vantris Energy merangkumi pengurangan modal untuk menghapuskan kerugian terkumpul serta mengukuhkan struktur modal, selain penggabungan saham 20 kepada satu bagi mengurangkan jumlah saham dalam edaran, dengan matlamat meningkatkan harga saham dan menurunkan turun naik pasaran.
Penstrukturan itu juga dijangka mengurangkan jumlah pinjaman kepada kira-kira RM5.6 bilion daripada RM10.8 bilion serta mengurangkan kos faedah tahunan lebih RM500 juta, atau sekitar 60%.
Selain itu, pelan tersebut melibatkan suntikan modal RM1.1 bilion daripada Kementerian Kewangan melalui Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH) menerusi terbitan redeemable convertible loan stocks (RCLS).
Selepas penukaran penuh RCLS, MDH berpotensi muncul sebagai pemegang saham tunggal terbesar Vantris Energy dengan pegangan melebihi 33%, sekali gus mengatasi Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang sahamnya mungkin dicairkan kepada sedikit melebihi 5%.
Vantris Energy, yang pernah menjadi penyedia perkhidmatan minyak dan gas terkemuka di rantau ini, telah diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 sejak 2022 akibat tekanan kewangan.
Saham Vantris Energy ditutup dua sen atau 3.6% lebih rendah pada 53 sen pada Jumaat, dengan modal pasaran syarikat bernilai RM1.21 bilion.
RHB, Maybank, CIMB
Seiring dengan pelaksanaan pelan ini, tiga institusi kewangan utama negara — RHB Bank Berhad, Malayan Banking Berhad (Maybank) dan CIMB — muncul sebagai pemegang saham utama dalam Vantris Energy.
RHB Bank melalui RHB Islamic Bank Berhad menerima 164.56 juta saham biasa baharu pada harga RM0.80 sesaham bersama 177.39 juta RCUIDS.
Kepentingan tidak langsung ini mewakili 7.21% modal saham terbitan Vantris Energy, sekali gus menjadikan RHB Bank pemegang saham substansial di bawah Seksyen 136 Akta Syarikat 2016.
Maybank pula bersama Maybank Islamic Berhad (MIB) menerima 462.45 juta saham biasa baharu serta 498.48 juta RCUIDS sebagai sebahagian daripada penyelesaian liabiliti Sapura TMC Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Vantris Energy.
Dengan itu, Maybank kini memegang secara langsung 421.67 juta saham biasa (18.48%) dan secara tidak langsung melalui MIB sebanyak 40.78 juta saham biasa (1.79%), menjadikan keseluruhan pegangan kumpulan itu 20.27% dalam Vantris Energy.
Kumpulan CIMB turut mendedahkan bahawa anak-anak syarikatnya juga menerima sekuriti baharu. CIMB Bank Bhd memperoleh 208.93 juta saham dan 225.21 juta RCUIDS, manakala CIMB Islamic Bank Bhd menerima 67.73 juta saham serta 73.01 juta RCUIDS. Secara keseluruhan, kedua-duanya memegang kepentingan terkumpul sebanyak 12.13% dalam Vantris Energy.
Langkah ini menandakan satu lagi fasa penting dalam usaha penstrukturan semula Vantris Energy yang berdepan cabaran kewangan besar, khususnya menerusi pendekatan penukaran liabiliti kepada ekuiti serta penglibatan aktif institusi kewangan utama. - DagangNews.com








