Reservoir Link sasar pembangunan 1,000 stesen pengecas EV bersama Nichcom GO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Reservoir Link sasar pembangunan 1,000 stesen pengecas EV bersama Nichcom GO

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Founder Group, Eric Lee (kiri) bersama Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han (tengah) dan Pengasas Nichcom Go, Nilson Chong semasa majlis pelancaran Stesen Pengecasan EV SPACEPLUS.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Sept - Reservoir Link Energy Berhad menerusi syarikat bersekutunya, Founder Group Limited menjalinkan kerjasama dengan Nichcom Go Sdn Bhd bagi melaksanakan pembangunan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) serta sistem simpanan tenaga bateri solar (BESS).

 

Menerusi kerjasama strategik tersebut, kedua-dua pihak akan membangunkan 1,000 stesen pengecas EV dalam tempoh tiga tahun akan datang, selain membangunkan sistem BESS bagi menyokong rangkaian infrastruktur EV.

 

Nichcom Go merupakan pengendali titik pengecas di Malaysia yang komited memperkukuh ekosistem EV negara menerusi rumusan pengecasan inovatif berasaskan gaya hidup dan kelestarian.

 

Majlis menandatangani kerjasama itu turut menyaksikan pelancaran rasmi Stesen Pengecasan EV SPACEPLUS, yang dihadiri Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai berkata kerjasama itu, menandakan langkah penting dalam mempercepatkan agenda peralihan tenaga bersih di Malaysia.

 

“Kerjasama itu bukan sahaja mempercepatkan penggunaan EV di Malaysia, malah memacu inovasi dalam mobiliti hijau serta menyokong agenda kelestarian negara,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Kerjasama itu juga dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri tenaga boleh diperbaharui (RE) tempatan, selari dengan aspirasi negara untuk menggalakkan pengangkutan rendah karbon dan kelestarian jangka panjang.
- DagangNews.com