KUALA TERENGGANU 16 April - RHJ Tijarah Sdn Bhd dan Eastar Biotech Sdn Bhd, pemilik produk penjagaan diri jenama Rehla menyasarkan jualan sebanyak RM3 juta untuk tahun 2025.
Pengasasnya, Siti Hajar Harun berkata, sasaran itu adalah peningkatan lebih 150 peratus berbanding jualan sebanyak RM1.2 juta yang direkodkan sepanjang tahun lalu.
Katanya, syarikat optimis dapat mencapai sasaran itu dengan mempromosikan secara besar-besaran jenama Rehla sebagai rangkaian penjagaan diri halal, sah ihram dan mesra ibadah bagi jemaah umrah, haji serta komuniti Muslim global.
"Ketika ini, semua produk Rehla telah mendapat pengiktirafan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan mendapat sokongan daripada Lembaga Tabung Haji.
"Selain itu, Rehla turut mendapat pengiktirafan produk R&D teknologi tempatan, MySTI oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada tahun 2024 hingga 2027.
"Pengiktirafan yang diterima ini secara tidak langsung mengukuhkan lagi jenama Rehla sebagai produk keluaran Bumiputera yang setanding dengan produk antarabangsa," katanya ketika ditemui DagangNews.com baru-baru ini.

Antara keistimewaan produk Rehla ialah memiliki tekstur mikroemulsi yang ringan, tiada alkohol, cepat menyerap dengan kehadiran matrix Nanovesicles serta tidak melekit.
Bagi meningkatkan lagi kualiti produk Rehla, satu formulasi baharu telah dicipta oleh Pensyarah dan Penyelidik di Fakulti Perikanan dan Sains Makanan (FPSM) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya ChM Dr Mohd Zul Helmi Rozaini yang direka khusus untuk mengatasi masalah tumit pecah, kulit kering dan sensitif dengan bahan-bahan aktif premium.
"Kolaborasi strategik inovasi teknologi dengan UMT bersama institusi Islam termasuk Lembaga Tabung Haji berjaya meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap kualiti produk Rehla.
"Visi Rehla adalah menjadi peneraju global dalam penjagaan diri halal yang diyakini, sah ihram dan dirumus khas untuk memenuhi keperluan ibadah umat Islam moden.
"Dengan kombinasi inovasi produk kerjasama industri, akademik, pemasaran strategik dan kepercayaan pengguna, Rehla optimis untuk terus berkembang sebagai jenama pilihan utama umat Islam dalam apa jua perjalanan, dari rumah hingga ke Tanah Suci," katanya.


Ketika ini, beliau berkata, syarikat giat turun padang melalui wakil jualan di setiap negeri untuk mempromosikan produk tersebut kepada lebih 31,000 jemaah haji yang bakal menunaikan rukun Islam kelima itu tidak lama lagi.
"Selain itu, syarikat turut memfokuskan pemasaran secara dalam talian melalui media sosial TikTok, Instagram dab Facebook dengan mesej gaya hidup Muslim yang aktif," katanya. - DagangNews.com








