Raja Teh Maimunah lepas jawatan CEO AEON Bank berkuat kuasa 31 Mac 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Raja Teh Maimunah lepas jawatan CEO AEON Bank berkuat kuasa 31 Mac 2026

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 4 Feb - AEON Bank (M) Bhd mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, YM Raja Datin Paduka Teh Maimunah, akan meletakkan jawatan berkuat kuasa 31 Mac 2026, selepas menerajui bank digital Islam itu sejak penubuhannya.

 

Raja Teh Maimunah menyertai AEON Bank tiga tahun lalu dan memainkan peranan penting dalam membimbing institusi tersebut melalui fasa awal pembangunannya.

 

Di bawah kepimpinannya, AEON Bank mencatat pencapaian bersejarah sebagai bank Islam digital pertama di Malaysia, termasuk kejayaan membangunkan infrastruktur teras berasaskan awan serta memperoleh kelulusan kawal selia penuh untuk pelancaran kepada orang ramai.

 

Pengerusi dan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas AEON Bank, Tomokatsu Yoshitoshi, merakamkan penghargaan terhadap sumbangan beliau, sambil menyifatkan usaha membangunkan sebuah bank digital daripada peringkat konsep kepada operasi penuh sebagai satu pencapaian besar.

 

Menurut beliau, asas kukuh yang dibina Raja Teh Maimunah meletakkan AEON Bank pada kedudukan strategik untuk berkembang dan meneruskan misinya dalam memperluas keterangkuman kewangan.

 

Mengulas mengenai pengundurannya, Raja Teh Maimunah berkata beliau berbangga dengan infrastruktur dan pasukan yang telah dibangunkan sepanjang tempoh perkhidmatannya, serta menyatakan keyakinan bahawa AEON Bank akan terus mencatat pertumbuhan mampan.

 

Dalam pada itu AEON Bank berkata, pihaknya telah memulakan pelan penggantian bagi memastikan peralihan kepimpinan berjalan lancar, dengan pengumuman lanjut akan dibuat selepas memperoleh kelulusan pihak berkuasa kawal selia.

 

 

 

 

 

 

AEON Bank, yang melancarkan aplikasi perbankan digitalnya pada 26 Mei 2024, merupakan salah satu daripada lima bank digital berlesen di Malaysia. Bank itu dimiliki bersama oleh AEON Financial Service Co Ltd dari Jepun dan AEON Credit Service (M) Bhd.

 

Peletakan jawatan Raja Teh Maimunah itu menyusul selepas pengunduran ketua pegawai teknologinya, Glen Cha, sebulan lalu untuk meneroka industri baharu. - DagangNews.com