KUALA LUMPUR 28 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk terus memperkukuh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta merangsang pembangunan Johor sebagai pintu masuk strategik negara.
Menurut Anwar, penubuhan JS-SEZ dijangka mempercepat aliran pelaburan ke negeri itu dan membentuk sinergi kukuh dalam pembangunan industri, tenaga kerja dan teknologi antara Malaysia dan Singapura.
“Saya hubungi Perdana Menteri Singapura ketika itu untuk berbincang. Bersama Perdana Menteri Singapura yang baharu, Lawrence Wong, kami bincangkan perkara ini dalam mesyuarat Kabinet dan bawa hampir separuh Kabinet turun ke Johor — sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, Muar pada Ahad.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pelaksanaan JS-SEZ kini telah menunjukkan hasil memberangsangkan apabila berjaya menarik pelaburan bernilai berbilion ringgit dalam sektor strategik.
Tambah beliau, Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam persaingan pelaburan serantau dan perlu memanfaatkan kedudukan strategik Johor yang bersempadan dengan negara maju seperti Singapura.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong merangkap Sultan Johor, Sultan Ibrahim atas sokongan baginda dalam melonjakkan potensi Johor sebagai pemacu utama ekonomi negara.
Untuk rekod, Johor mencatatkan kelulusan pelaburan berjumlah RM30.1 bilion bagi suku pertama 2025, tertinggi dalam negara.
Pada Januari lalu, Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian JS-SEZ semasa Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 sebagai usaha meningkatkan kerjasama ekonomi dan menarik pelaburan asing.
JS-SEZ merupakan projek pembangunan mega yang merangkumi Wilayah Pembangunan Iskandar, Desaru, Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas, Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai, Skudai dan Sedenak.
Zon ekonomi ini menyasarkan untuk menarik 100 projek dalam tempoh sedekad, antara objektif utamanya. - BERNAMA








