Pusat data, aset premium pacu pertumbuhan pasaran hartanah pada 1H2026 - Knight Frank | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pusat data, aset premium pacu pertumbuhan pasaran hartanah pada 1H2026 - Knight Frank

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 Julai - Pasaran hartanah Malaysia kekal berdaya tahan pada separuh pertama 2026 (1H2026), disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh, pelaburan berterusan serta permintaan yang semakin tertumpu kepada aset berkualiti tinggi dan bersedia untuk masa hadapan.

 

Laporan Real Estate Highlights (REH) 1H2026 oleh Knight Frank Malaysia menyatakan prestasi sektor itu dipacu oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.4% pada suku pertama 2026, selain inflasi dan kadar faedah yang stabil, pemulihan pelancongan serta peningkatan pelaburan dalam teknologi, infrastruktur dan pembuatan.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Knight Frank Malaysia, Keith Ooi berkata, penyewa kini lebih mengutamakan aset yang memenuhi keperluan operasi khusus seperti kemudahan rantaian sejuk, pusat data, penginapan pekerja, bangunan pejabat Gred A, ruang kerja fleksibel serta pembangunan runcit berteraskan gaya hidup.

 

Menurut beliau, peluang pertumbuhan turut berkembang di luar Lembah Klang dengan hab perindustrian baharu muncul di Kulai, Seberang Prai serta beberapa kawasan di Sabah, manakala Miri dan bandar utama di Sarawak mencatat peningkatan permintaan terhadap ruang pejabat dan hotel.

 

Dalam sektor perindustrian, Lembah Klang dan Pulau Pinang kekal menjadi hab utama apabila masing-masing merekodkan pelaburan pembuatan yang diluluskan sebanyak RM4.8 bilion dan RM4.9 bilion pada suku pertama 2026.

 

Pengarah Eksekutif Kanan, Land & Industrial Solutions, Allan Sim berkata, pelaburan pembuatan di Lembah Klang meningkat 29.2% tahun ke tahun dengan 134 projek diluluskan, manakala Pelabuhan Klang terus mencatat pertumbuhan pengendalian kontena, mencerminkan aktiviti perdagangan dan logistik yang kukuh.

 

Bagaimanapun, beliau berkata ketegangan perdagangan global, ketidaktentuan tarif, peningkatan kos logistik dan risiko geopolitik dijangka menyebabkan syarikat lebih berhati-hati dalam membuat keputusan pelaburan pada separuh kedua tahun ini.

 

Pasaran Pusat Data Lebih Selektif

Sementara itu, pasaran pusat data terus berkembang tetapi dengan pendekatan yang lebih selektif apabila penekanan kini diberikan kepada kesiapsiagaan infrastruktur, bekalan utiliti serta daya maju projek dalam jangka panjang.

 

Pengarah Eksekutif, Land & Industrial Solutions, Chelwin Soo berkata, transaksi tanah berkaitan pusat data di Lembah Klang kembali meningkat pada 1H2026 dengan nilai kira-kira RM1.43 bilion melibatkan 293 ekar tanah di Banting dan Kapar.

 

Beliau berkata, lokasi yang mempunyai akses kepada bekalan elektrik, air dan rangkaian telekomunikasi akan terus menjadi pilihan utama, manakala sektor itu dijangka menarik lebih ramai pelabur institusi menerusi IPO, REIT serta aktiviti penggabungan dan pengambilalihan.

 

Dalam sektor pejabat, permintaan terus tertumpu kepada bangunan premium dan moden apabila bekalan baharu yang terhad membantu meningkatkan kadar penyerapan serta penghunian, dengan aset Gred A terus mengatasi prestasi bangunan lama.

 

Sektor runcit pula berkembang 3.7% pada suku pertama 2026 hasil perbelanjaan musim perayaan, bantuan tunai kerajaan serta peningkatan ketibaan pelancong asing kepada 10.65 juta orang, dengan pusat beli-belah berteraskan pengalaman pelanggan dijangka terus menjadi pilihan.

 

Bagi sektor hospitaliti, Knight Frank menjangkakan prospek kekal positif pada separuh kedua 2026 apabila ketibaan pelancong antarabangsa meningkat kepada 6.53 juta orang pada suku pertama tahun ini, disokong pertumbuhan sektor Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE), kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 serta kemasukan lebih banyak jenama hotel antarabangsa. - DagangNews.com