Pulau Pinang antara negeri paling teruk terjejas akibat Tarif Trump, Dewan Rakyat diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pulau Pinang antara negeri paling teruk terjejas akibat Tarif Trump, Dewan Rakyat diberitahu

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Mei — Pulau Pinang bakal menjadi antara negeri yang paling terjejas di Malaysia berikutan pelaksanaan tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat (AS), kata Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow.


Beliau berkata, sebanyak RM76 bilion atau 17 peratus daripada keseluruhan eksport negeri tersebut menuju ke pasaran AS pada 2024 yang merupakan nilai eksport kedua tertinggi dari Pulau Pinang sendiri.


"Ia adalah salah satu rakan dagangan utama kami. Pelaksanaan tarif mungkin memberi kesan serius kepada Pulau Pinang,” katanya ketika berucap pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini untuk membincangkan kesan tarif AS.


Bagi mengurangkan kesan buruk itu, Kon Yeow berkata, Pulau Pinang membentuk pasukan petugas pemantauan dan memperkenalkan kit penyesuaian untuk membantu pengeksport serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).


Ahli Parlimen Batu Kawan itu turut menggesa Kerajaan Persekutuan bekerjasama dengan semua kerajaan negeri untuk membantu PKS dalam mengharungi ketidaktentuan ekonomi antarabangsa dan memacu landskap perdagangan berkembang.


Beliau turut memuji Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan kerana berjaya mengetuai delegasi ke Washington baru-baru ini. 
 

"Kami yakin rundingan ini membawa rumusan yang saling menguntungkan berdasarkan kepercayaan dan keadilan," kata Kon Yeow sambil menambah, penyelesaian jangka panjang adalah penting bagi mengukuhkan hubungan perdagangan.


Antara langkah penting itu kata beliau, ialah segera melantik duta kerana ia bukan hanya untuk mewakili kepentingan Malaysia, tetapi melaksanakan suara dan aspirasi negara ke peringkat tertinggi kepimpinan AS sendiri.


"Kita tidak boleh terus-menerus hanya menghantar menteri ke Washington setiap kali berlaku situasi sebegini," tambahnya.


Selain itu, Kon Yeow berkata, ASEAN juga perlu mengadakan sidang kemuncak khas dengan AS untuk menyatakan aspirasi ekonomi perkumpulan serantau tersebut.


"ASEAN mesti... (bersuara) sebagai sebuah blok yang bersatu," tambahnya.


Sidang khas itu menyaksikan ahli-ahli Parlimen dari kedua-dua pihak membahaskan isu tarif setelah usul dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Pada 2 April 2025, Presiden AS Donald Trump mengumumkan tarif asas 10 peratus ke atas semua negara dan levi 24 peratus yang lebih curam, khususnya menyasarkan produk Malaysia.


Trump kemudian membenarkan penangguhan selama 90 hari pada tarif timbal balik untuk semua rakan dagangan, kecuali China yang berkuat kuasa pada 9 April 2025. - DagangNews.com