KUALA LUMPUR 20 Julai – PTT Synergy Group Bhd membeli empat sistem perisian logistik daripada syarikat teknologi China, vTradEx Information Technology (Shanghai) Co Ltd bernilai AS$7.12 juta (RM29.1 juta) secara tunai.
Langkah itu membabitkan pembelian hak pemilikan sah serta hak harta intelek bagi empat sistem perisian yang dibangunkan oleh vTradEx, sekali gus membolehkan PTT Synergy mengawal dan mengendalikan teknologi tersebut untuk kegunaan operasi logistiknya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, PTT Synergy berkata anak syarikat milik tidak langsungnya, PTT Robotics Sdn Bhd, telah memeterai empat perjanjian pada 17 Julai 2026 bagi tujuan pemerolehan sistem berkenaan.
Empat sistem yang bakal diperoleh itu terdiri daripada sistem pengurusan gudang, sistem pelaksanaan gudang sistem pengurusan pengangkutan dan sistem pengurusan kawasan operasi.
Sistem berkenaan akan digunakan di 11 negara termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina bagi menyokong operasi logistik kumpulan di rantau ini.
PTT Synergy berkata pemerolehan teknologi itu merupakan sebahagian daripada usaha kumpulan untuk berubah menjadi penyedia perkhidmatan logistik bersepadu yang menawarkan perkhidmatan lebih menyeluruh kepada pelanggan.
Miliki Teknologi Sendiri Untuk Tingkatkan Kecekapan Operasi
Melalui pemilikan perisian tersebut, PTT Synergy dijangka dapat meningkatkan keupayaan operasi, mengurus data dengan lebih baik serta membuka peluang kepada pendapatan berulang dalam jangka panjang.
Syarikat itu menjelaskan, langkah berkenaan bertujuan mentransformasikan PTT Synergy menjadi penyedia penyelesaian logistik sehenti menerusi penggunaan sistem yang saling berhubung dan bersepadu sepenuhnya.
PTT Robotics yang menjalankan aktiviti penjualan, penyewaan, servis serta penyelenggaraan sistem perisian, perkakasan dan peralatan automasi penyimpanan turut dijangka mendapat manfaat daripada penguasaan teknologi baharu tersebut.
PTT Robotics merupakan anak syarikat milik penuh PTT Logistics Sdn Bhd, yang mana 70% kepentingannya dimiliki oleh PTT Synergy.
Kesan Kewangan Terhad, Transaksi Dijangka Siap September 2026
Sementara itu, vTradEx Information Technology (Shanghai) Co Ltd merupakan syarikat yang terlibat dalam pembangunan penyelesaian perisian pengurusan rantaian bekalan khusus untuk sektor perisian logistik.
PTT Synergy berkata kaedah pembiayaan bagi pemerolehan tersebut masih belum dimuktamadkan dan akan ditentukan selepas mengambil kira kedudukan hutang kumpulan, kos pembiayaan serta keperluan modal kerja.
Kumpulan itu menjangkakan transaksi berkenaan tidak memberi kesan ketara terhadap keuntungan, aset bersih, modal saham atau tahap hutang PTT Synergy bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027.
Cadangan pembelian itu dijangka selesai pada suku pertama tahun kewangan 2027 yang berakhir pada 30 September 2026. - DagangNews.com








