KUALA LUMPUR 5 Dis – Walaupun keputusan suku pertama tidak mencapai sasaran, prospek VS Industry Bhd (VSI) dijangka kembali cerah pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (2HFY26) berikutan beberapa pemangkin pertumbuhan utama yang semakin kukuh, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, VS Indsutry mencatat momentum pendapatan lebih kukuh didorong oleh pelancaran produk baharu, kemasukan pelanggan baharu, serta peningkatan prestasi unit perniagaan yang sebelum ini mengalami kerugian, khususnya operasi di Filipina dan HT Press Work.
"Kami turut mengekalkan pendirian positif terhadap kaunter ini, disokong oleh peningkatan penguasaan pasaran dengan Customer X, perkembangan peluasan kapasiti di Filipina, selain tempahan baharu yang muncul hasil peluang pengalihan perdagangan berikutan ketegangan hubungan perdagangan global," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut RHB, VS Industry memulakan tahun kewangan 2026 dengan prestasi yang lebih perlahan daripada jangkaan apabila keputusan suku pertamanya (1QFY26) gagal memenuhi unjuran penganalisis, sekali gus mendorong semakan semula terhadap ramalan pendapatan dan penilaian saham syarikat tersebut.
Menurut firma itu lagi, keuntungan bersih teras VS Industry bagi 1QFY26 sebanyak RM26 juta, merosot 16% tahun ke tahun (YoY) dan hanya memenuhi 17%-20% daripada unjuran firma dan konsensus.
Prestasi yang lemah ini berpunca daripada kadar pemulihan volum yang lebih perlahan, memaksa RHB mengurangkan unjuran pendapatan FY26F–FY28F sebanyak 14%, 5% dan 5% masing-masing.
Seiring semakan tersebut, harga sasaran (TP) baharu diturunkan kepada RM0.65 daripada sebelumnya RM0.71, berdasarkan penilaian P/E 15x, iaitu sedikit lebih tinggi daripada purata lima tahun dan pada premium berbanding rakan industri, SKP Resources.
Menjelang suku kedua, prestasi dijangka sederhana disebabkan faktor bermusim. Namun, pemulihan volum yang lebih kukuh dijangka pada 2HFY26, apabila lebih banyak barisan pengeluaran baharu mula beroperasi di Malaysia dan Filipina.
Operasi Filipina dilihat semakin stabil dan dijangka mencapai titik pulang modal menjelang akhir FY26, susulan pembukaan barisan kedua pada Disember serta peningkatan pengeluaran komponen upstream.
Di Malaysia, pelanggan baharu dalam segmen peralatan pembersihan kolam dijangka mula menyumbang hasil bernilai kira-kira RM300 juta setahun bermula Mac 2026 – menjadi pemangkin utama pertumbuhan dalam tempoh tersebut.
RHB turut memberi amaran risiko utama termasuk permintaan pengguna global yang lebih lemah daripada jangkaan serta potensi kehilangan pelanggan utama. - DagangNews.com








