KUALA LUMPUR 26 Mei - Pintaras Jaya Berhad dijangka terus meraih manfaat daripada prospek sektor pembinaan yang semakin kukuh di Singapura sekali gus menjadikan saham syarikat itu kekal menarik dalam kalangan pelabur, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan mengekalkan saranan BELI terhadap kumpulan tersebut dengan harga sasaran (TP) RM2.18 yang menawarkan potensi kenaikan sekitar 45% selain hasil dividen kira-kira 4% bagi FY27.
Menurut firma itu, penilaian Pintaras Jaya ketika ini masih dianggap murah apabila diniagakan pada hanya 0.6 kali FY27F P/BV, lebih rendah berbanding purata lima tahun syarikat sebanyak 0.8 kali dan purata lima tahun Indeks Pembinaan Bursa Malaysia sebanyak satu kali.
Katanya, sentimen positif terhadap syarikat turut disokong peningkatan permintaan pembinaan sektor awam di Singapura yang diunjurkan mencecah antara SGD19 bilion hingga SGD23 bilion bagi tempoh 2025 hingga 2028.
“Prospek pembinaan di Singapura kini semakin mengukuh dengan beberapa projek mega dijangka dilaksanakan termasuk pembangunan Housing & Development Board (HDB) baharu dan Laluan MRT Cross Island Fasa 3,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma itu turut melihat potensi besar kepada Pintaras Jaya untuk terlibat dalam kerja-kerja cerucuk bagi projek Terminal 5 Lapangan Terbang Changi yang dijangka memulakan pembinaan pada separuh kedua 2026.
Sebagai rekod, syarikat itu pernah terlibat dalam projek Terminal 4 Changi sekitar 2015 hingga 2016, sekali gus mengukuhkan peluangnya untuk mengambil bahagian dalam pembangunan baharu lapangan terbang tersebut.
Bagi separuh pertama FY26 berakhir Jun 2026, Pintaras Jaya mencatatkan pendapatan teras sebanyak RM15 juta, susut tipis 1.5% berbanding tahun lalu namun masih sejajar jangkaan apabila merangkumi 51% daripada unjuran tahunan firma penyelidikan.
Segmen pembinaan syarikat terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mencatat keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi enam suku berturut-turut dengan PBT sebanyak RM8.5 juta pada 2QFY26.
Setakat ini, kumpulan memperoleh kontrak baharu bernilai sekitar RM195 juta dengan baki buku pesanan sebanyak RM326 juta, manakala nilai tender aktif yang sedang dibida mencecah kira-kira RM3 bilion.
Firma penyelidikan itu berkata, gabungan prospek projek yang semakin rancak di Singapura dan momentum operasi semasa dijangka terus menyokong pertumbuhan jangka sederhana Pintaras Jaya. - DagangNews.com








