KUALA LUMPUR 5 Feb – Prospek AME Real Estate Investment Trust (AME REIT) kekal memberangsangkan disokong oleh potensi pertumbuhan organik dan anorganik yang mampan, dengan pengurusan mengulangi komitmen terhadap sasaran pemerolehan tahunan bernilai RM100 juta, kata RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, tumpuan pemerolehan dijangka beralih kepada aset di Lembah Klang pada tahun kewangan 2027 (FY27), sementara portfolio perindustrian di Johor terus menikmati permintaan kukuh yang dijangka mengekalkan kadar penghunian hampir penuh.
Katanya, dari sudut pertumbuhan organik, terdapat ruang peningkatan sewaan yang jelas apabila sebahagian pajakan sedia ada masih ditandatangani pada kadar lebih rendah berbanding paras pasaran semasa.
"Pengurusan memaklumkan beberapa pembaharuan pajakan yang akan datang masih berada di bawah penanda aras pasaran, sekali gus membuka peluang kepada pelarasan sewaan selanjutnya apabila pajakan tersebut tamat.
"Operasi pembaharuan pajakan terkini turut mencatatkan peningkatan dua digit rendah, mencerminkan kejayaan strategi pelarasan sewaan secara berperingkat.
"Dengan kira-kira 11% pajakan tamat tempoh pada FY27 dan tambahan 4% pada FY28, kami melihat landasan yang jelas untuk kesinambungan penyesuaian sewaan dalam tempoh dua tahun akan datang," kata RHB Research dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma penyelidikan itu menambah, dari segi pembiayaan, pengurusan AME REIT memaklumkan perancangan untuk menstruktur semula profil hutang secara berperingkat ke arah peratusan kadar tetap yang lebih tinggi.
Langkah ini dijangka menurunkan kadar keuntungan purata daripada 4.24% kepada sekitar 4.17%, sekali gus membantu mengurangkan kos pembiayaan dan meningkatkan kebolehjangkaan pendapatan.
Sejajar dengan perkembangan positif tersebut, RHB telah menaikkan unjuran pendapatan bagi FY27 hingga FY28 sebanyak 4% setahun, mengambil kira andaian hasil yang lebih tinggi daripada pelarasan sewaan kepada paras pasaran.
Berikutan semakan unjuran tersebut, harga sasaran AME REIT dinaikkan kepada RM1.95, termasuk premium ESG sebanyak 2%.
Penilaian ini membayangkan hasil FY27 sekitar 5% serta jurang sekitar 160 mata asas berbanding hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun. - DagangNews.com








