KUALA LUMPUR 11 Feb — Projek di Singapura terus menjadi penyumbang margin lebih tinggi kepada UUE Holdings Bhd apabila kumpulan itu kini merekodkan buku tempahan tertunggak berjumlah MYR576 juta, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, daripada jumlah tersebut, kira-kira 30% adalah projek berkaitan SP PowerAssets, sekali gus mengukuhkan lagi kehadiran UUE dalam pasaran republik berkenaan.
"Ini merupakan pakej berskala besar ketiga yang diperoleh UUE di Singapura, berbanding projek terdahulu yang bernilai antara SGD500,000 hingga SGD1 juta, mencerminkan peningkatan keupayaan dan pengiktirafan teknikal syarikat di pasaran luar negara.
Walaupun kontrak berskala lebih besar lazimnya menawarkan margin sedikit lebih rendah berbanding kerja penggerudian arah mendatar (HDD) tulen, projek di Singapura masih memberikan margin keuntungan kasar (GPM) yang menarik pada kadar 20% hingga 30%," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
UUE semalam mengumumkan anak syarikatnya, Konnection Engineering Pte Ltd, meraih dua kontrak baharu bernilai SGD10.9 juta (MYR33.7 juta) setiap satu, sekali gus menjadikan jumlah kemenangan kontrak bagi tahun kewangan 2026 (FY26) mencecah MYR337 juta.
Jumlah itu mengatasi jangkaan awal sebanyak MYR270 juta yang mengambil kira aliran kontrak lebih perlahan pada awal tahun kalendar 2026 (CY26).
Sejajar perkembangan tersebut, RHB Research mengekalkan saranan BELI ke atas saham UUE dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada MYR0.64, yang menawarkan potensi kenaikan sekitar 43% daripada paras semasa.
Walaupun kemenangan kontrak lebih tinggi daripada jangkaan, unjuran pendapatan dikekalkan tanpa perubahan memandangkan sumbangan daripada kontrak baharu itu dijangka hanya bermula pada FY27F. Ini berikutan tempoh cuti perayaan yang bakal tiba serta potensi kelewatan dalam kelulusan permit.
Namun begitu, prospek jangka sederhana kekal positif dengan UUE dilihat berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan kitaran peningkatan perbelanjaan modal oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB MK, BELI, TP: MYR16.50) dan SP PowerAssets.
Kedudukan itu mengukuhkan lagi profil UUE sebagai pemain utiliti bawah tanah berasaskan teknologi penggerudian arah mendatar (HDD).
Dari sudut penilaian, UUE dilihat masih undervalued apabila diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) hadapan dua tahun sebanyak 10.4 kali, berbanding purata wajaran rakan setara sekitar 13.6 kali.
Harga sasaran MYR0.64 itu diperoleh berdasarkan asas separa pencairan melibatkan 912 juta saham serta 89.8 juta opsyen ESOS pada harga pelaksanaan MYR0.54, termasuk mengambil kira diskaun ESG sebanyak 4%.
Berdasarkan asas pencairan penuh yang turut memasukkan waran, harga sasaran dianggarkan sekitar MYR0.57. - DagangNews.com








