KUALA LUMPUR 3 Dis – MN Holdings Bhd terus meraih tempahan baharu daripada pelanggan utama khususnya daripada sektor tenaga, sekali gus mengukuhkan prospek pendapatannya, menurut Philip Capital.
Firma penyelidikan itu menjangkakan momentum keuntungan syarikat pembinaan itu dijangka bertambah kukuh pada suku kedua tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2026 (FY26).
Katanya, sebahagian besar kerja pembinaan MN disumbangkan oleh pelanggan seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang mewakili 43% daripada jumlah pesanan, manakala segmen pusat data merangkumi 36% lagi.
"Momentum pendapatan pada masa depan juga dijangka disokong oleh penghantaran empat projek pencawang TNB bernilai keseluruhan RM94 juta serta kemajuan stabil kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) pencawang bernilai RM170 juta untuk seorang pelanggan tidak dinamakan, serta RM180 juta bagi seorang lagi pelanggan tidak dinamakan," katanya firma itu dalam nota penyelidikan.
Laporan itu turut menyebut pihak pengurusan MN memaklumkan beberapa pelanggan utama kini mempercepatkan pelaksanaan projek kumpulan, yang dijangka diterjemahkan kepada sumbangan hasil yang lebih kukuh dalam suku-suku akan datang.
“Bagaimanapun, kami menjangka keuntungan akan sedikit menyederhana pada separuh kedua FY26 memandangkan beberapa projek bakal mencapai penyempurnaan pada separuh pertama, sementara projek baharu masih di peringkat awal peningkatan pelaksanaan,” jelas Phillip Capital.
Buku tender MN juga pulih kepada RM1 bilion — peningkatan 31% berbanding suku sebelumnya — didorong kitaran tender TNB yang berterusan serta projek pembangunan pencawang lain bernilai RM285 juta, kata firma penyelidikan tersebut.
Phillip Capital mengekalkan saranan BELI ke atas MN Holdings dengan harga sasaran RM2.20 sesaham, berdasarkan gandaan 20 kali pendapatan sesaham terdilusi penuh bagi FY26. - DagangNews.com








