KUALA LUMPUR 8 Dis - Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku yang berakhir hari ini menerima sambutan luar biasa dengan kehadiran hampir 400,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya, melebihi sasaran awal 300,000 orang.
Program berskala nasional anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) itu menampilkan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga serta pelbagai tawaran istimewa yang menarik minat orang ramai untuk hadir ke pusat pentadbiran negara.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata kehadiran pengunjung yang melebihi sasaran itu menunjukkan sambutan menggalakkan daripada rakyat, selain faktor cuaca baik yang turut menyumbang kepada kejayaan penganjuran.

Beliau berkata program tersebut berjaya menjadi platform penyampaian maklumat kerajaan secara langsung kepada rakyat melalui penglibatan kementerian dan agensi menerusi pameran, kaunter penerangan serta penawaran pelbagai perkhidmatan.
“Insya-Allah, tahun depan kita buat lagi (program)… ulang tahun keempat pula,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merasmikan Majlis Penutup program itu turut memuji penganjuran tersebut yang disifatkan luar biasa dari segi sambutan rakyat.
Beliau berkata program itu memberi peluang kepada rakyat menilai pencapaian Kerajaan MADANI sepanjang tiga tahun selain menikmati perkhidmatan kerajaan yang ditawarkan.
Pada majlis berkenaan, Anwar turut melancarkan dua inisiatif di bawah agenda pembangunan rakyat iaitu Sahabat Penggerak MADANI dan Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 3.0, sebagai usaha kerajaan memperkukuh jaringan keselamatan sosial serta memperkasakan komuniti di peringkat akar umbi.
Sahabat Penggerak MADANI ialah individu yang dilatih Akademi Kenegaraan Malaysia untuk menjadi ejen penyebar kesedaran dan pemahaman mengenai kenegaraan, kepimpinan serta dasar kerajaan semasa. SIKR pula merupakan inisiatif bagi memastikan golongan miskin dan miskin tegar eKasih mendapat perlindungan insurans.
Program Rancakkan MADANI ialah kesinambungan daripada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI, yang menjadi tradisi pelaporan tahunan kerajaan secara langsung kepada rakyat.

Antara acara yang menjadi tumpuan ialah program pertukaran topi keledar anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan, dengan 5,000 topi keledar baharu yang menepati standard keselamatan ditawarkan kepada orang ramai.
Selain itu, segmen Ukhuwah Rakyat MADANI di bawah Kementerian Perpaduan Negara turut mencuri perhatian apabila pengunjung berpeluang mendalami seni busana tradisional seperti teknik membuat tanjak dan menggayakan kain samping. Turut menjadi tarikan ialah khidmat mencuci emas secara percuma serta aktiviti melukis potret digital.
Reruai Visit Malaysia 2026 oleh agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut menjadi tumpuan apabila menawarkan pelbagai aktiviti interaktif, demonstrasi kebudayaan serta promosi pakej pelancongan pada harga berpatutan.
Pengisian lain termasuk persembahan kebudayaan, demonstrasi arkeologi, edaran makanan warisan, aktiviti mewarna batik serta demonstrasi dan pertandingan roti canai terbang dan teh tarik.
Orang ramai juga berpeluang merasai pengalaman menghadiri persidangan ASEAN melalui pameran interaktif Kementerian Luar (Wisma Putra) yang bertujuan meningkatkan kefahaman mengenai peranan, proses dan pencapaian ASEAN.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Dasar dan Penyelarasan, Shamsul Nizam Shamsuddin, berkata program tersebut memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat lebih dekat proses membuat keputusan dalam ASEAN, termasuk simulasi suasana Sidang Kemuncak ASEAN serta pendedahan kepada dokumen dan hasil utama mesyuarat-mesyuaratnya.
Karnival Kerjaya MADANI yang melibatkan penyertaan 30 majikan dengan lebih 5,000 peluang pekerjaan turut menarik minat golongan muda dan pencari kerja.

Di luar acara utama, turut berlangsung Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang menghimpunkan pakar dasar sektor awam dan industri untuk membincangkan pelbagai topik berkaitan reformasi dan isu kemiskinan menerusi lima forum berasingan.
Pekeliling ILTIZAM dan Indeks Prestasi Perkhidmatan Awam (I-PPA) yang dilancarkan Shamsul Azri semalam akan menjadi pemangkin kepada pengukuhan tadbir urus berasaskan prestasi dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Pekeliling tersebut menyokong pelaksanaan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan (ILTIZAM) yang berkuat kuasa pada 1 Dis lalu, manakala I-PPA menjadi instrumen rasmi bagi mengukur, menilai dan memantau kecekapan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan sejajar dengan Seksyen 7(1) akta tersebut.
Pelaksanaan ILTIZAM adalah selaras dengan Dasar Negara bagi Amalan Baik Peraturan (NPGRP) serta Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB), yang setakat ini menunjukkan hasil ketara.
Sehingga kini, sebanyak 1,007 projek RKB telah didaftarkan di seluruh negara dengan 323 daripadanya siap—peningkatan sebanyak 182 projek berbanding sebelum ini, sekali gus menjimatkan lebih RM2.01 bilion setahun daripada kos pematuhan. - BERNAMA








