Presiden KPJ terima Anugerah Kepimpinan CEO Cemerlang ASEAN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Presiden KPJ terima Anugerah Kepimpinan CEO Cemerlang ASEAN

CHIN Keat Chyuan (tengah) merakam foto kenangan bersama-sama barisan Pengurusan Kanan KPJ Healthcare selepas majlis penyampaian anugerah di Kuala Lumpur semalam.
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 Mei — Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Chin Keat Chyuan dipilih sebagai penerima Anugerah Kepimpinan Cemerlang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ASEAN dalam Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan pada Forum Kepimpinan dan Perkongsian ASEAN 2025.


Penganugerahan tersebut diberikan sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan beliau menerajui kumpulan itu ke arah menjadi sebuah organisasi berteraskan matlamat dan berfokuskan pesakit, selari dengan aspirasi ASEAN untuk pertumbuhan yang inklusif, inovatif serta mampan.


KPJ berkata, sejak dilantik pada September 2023, beliau mengetuai agenda transformasi yang komprehensif, memfokuskan bukan sahaja pada prestasi kewangan, tetapi turut memberi tumpuan perubahan budaya, kecemerlangan operasi dan penciptaan nilai untuk pemegang berkepentingan.


"Di bawah kepimpinannya, KPJ melalui inisiatif penjenamaan semula, keputusan kewangan tertinggi dan pembangunan KPJ Health System iaitu rangka kerja bersepadu menggabungkan kecemerlangan klinikal, penyelidikan dan pendidikan perubatan di seluruh kumpulan," katanya dalam kenyataan.


Selain itu, KPJ Healthcare turut memperkukuh komitmennya terhadap inovasi perubatan melalui perluasan ekosistem kesihatan digital serta penerapan penggunaan teknologi canggih. 


Antara inisiatif penting itu katanya, termasuk pelaksanaan program pembedahan robotik di rangkaian hospital KPJ bagi meningkatkan hasil klinikal, keselamatan dan pengalaman pesakit secara keseluruhan.


Sementara itu, Keat Chyuan berkata, beliau bersama-sama, bukan sahaja mentransformasi sistem, malah juga membentuk semula cara berfikir dengan menerapkan budaya kerja yang meletakkan pesakit, doktor, warga kerja, rakan strategik dan alam sekitar sebagai teras utama


"Pengiktirafan ini bukan milik saya seorang sahaja. Ia turut mencerminkan dedikasi seluruh warga KPJ Healthcare serta sokongan padu yang kami terima daripada Lembaga Pengarah dan pemegang saham kami," katanya.

 

kpj
CHIN Keat Chyuan (dua dari kiri) menerima Anugerah Kepimpinan CEO Cemerlang ASEAN dalam Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan di Forum Kepimpinan dan Perkongsian ASEAN 2025 yang berlangsung di InterContinental Kuala Lumpur semalam.


Beliau menambah, misi KPJ adalah jelas menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang bukan sahaja cemerlang, tetapi berteraskan nilai kemanusiaan, dipacu data dan mampan.


Kenyataan KPJ itu turut berkata, anugerah tersebut bukan sahaja mengiktiraf kepimpinan Keat Chyuan, malah turut mengukuhkan komitmen KPJ Healthcare dalam memajukan sektor penjagaan kesihatan di Malaysia dan rantau ASEAN.


Sebagai peneraju sektor kesihatan swasta di Malaysia, KPJ Healthcare memainkan peranan penting menerusi kerjasama strategik dalam penganjuran persidangan Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2025, sebuah inisiatif nasional diterajui Kementerian Kesihatan. 


MIH merupakan platform utama yang menghimpunkan pemimpin penjagaan kesihatan, penggubal dasar dan inovasi dari seluruh ASEAN bagi merangka masa depan penyampaian perkhidmatan kesihatan.


"Kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan KPJ dalam memupuk pertukaran ilmu, kerjasama serantau dan pelaburan dalam penjagaan kesihatan yang berasaskan nilai serta berfokuskan pesakit," kata kenyataan tersebut.


Dalam pada itu, forum yang bertemakan “Unleashing ASEAN’s Potential Through Innovative, Inclusive and Sustainable Growth,” berlangsung semalam di InterContinental Kuala Lumpur.


Ia dianjurkan bersama oleh KSI Strategic Institute for Asia Pacific, ASEAN Economic Club (AEC), ASEAN Business Advisory Council (ASEAN-BAC) dan ASEAN Business Club (ABC) serta China Daily dan disokong oleh World Digital Chamber (WDC). - DagangNews.com