KUALA LUMPUR 2 Mac — PPB Group Bhd tidak menjangkakan sebarang susut nilai tambahan ke atas pelaburannya dalam syarikat bersekutu yang dimiliki sebanyak 18.8%, Wilmar International Ltd selepas menghapus kira sepenuhnya komponen muhibah (goodwill) pelaburan tersebut.
Pengarah Urusan Kumpulan PPB, Lim Soon Huat berkata, susut nilai berjumlah RM4.17 bilion yang diiktiraf bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025) didorong oleh “jurang berpanjangan” antara nilai bawaan pelaburan PPB dalam Wilmar dan harga pasaran saham Wilmar, yang berlarutan sejak 2021.
“Harga pasaran Wilmar telah lama berada pada paras di bawah nilai bawaan kami, yang merangkumi bahagian nilai aset bersih (NAB) serta muhibah. Adalah perkara biasa untuk kami membuat pelarasan susut nilai supaya jurang itu tidak menjadi terlalu besar,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Beliau menegaskan bahawa susut nilai tersebut adalah pelarasan perakaunan sekali sahaja dan bukan tunai, yang berlaku susulan kedudukan nilai aset bersih Wilmar.
Justeru, ia tidak menjejaskan aliran tunai operasi kumpulan mahupun keupayaannya untuk membayar dividen.
“Sekiranya tiada perubahan pada NAB Wilmar, kami tidak menjangkakan sebarang susut nilai lanjut,” tambahnya.
Dalam pada itu, PPB mencadangkan untuk mengekalkan jumlah dividen keseluruhan sebanyak 42 sen sesaham bagi FY2025.
Sehingga akhir 2025, kumpulan itu mempunyai tunai melebihi RM2 bilion berbanding pinjaman kira-kira RM200 juta.
Menurut Soon Huat, ini mencerminkan kedudukan kunci kira-kira yang kukuh.
Mengulas kebimbangan berhubung prosiding undang-undang yang sedang dihadapi Wilmar di Indonesia dan China, PPB menyatakan keyakinan berterusan terhadap daya tahan jangka panjang syarikat bersekutu itu.
“Prosiding mahkamah yang dihadapi Wilmar masih dalam proses rayuan dan telah didedahkan secara terbuka oleh Wilmar. Kami tidak percaya ia akan menjejaskan prospek jangka panjangnya, khususnya di China dan Indonesia,” katanya.
Beliau menambah, kedua-dua pasaran tersebut menawarkan prospek pertumbuhan yang kukuh.
“Dengan keupayaan daya tahan serta model perniagaan bersepadu yang dimiliki Wilmar, kami yakin ia berada pada kedudukan baik untuk mengharungi tempoh mencabar dan muncul lebih kukuh,” ujarnya.
Soon Huat turut menjelaskan bahawa kes-kes undang-undang berkenaan dikendalikan sepenuhnya oleh Wilmar, manakala PPB sebagai pemegang kepentingan tidak terlibat dalam pengurusan harian syarikat bersekutu itu. - DagangNews.com








