KUALA LUMPUR 22 Okt – PPB Group Bhd menjangkakan tiada kesan kewangan material terhadap kumpulan tersebut bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, susulan pendedahan bahawa Pengurus Besar anak syarikat bersekutunya, Wilmar International Ltd, telah didakwa di Indonesia atas kes berkaitan import gula mentah.
Wilmar, yang disenaraikan di Singapura dan dimiliki sebanyak 18.8% oleh PPB Group, memberitahu anak syarikatnya di Indonesia, Duta Sugar International (DSI) merupakan salah satu daripada sembilan pengeluar gula yang didakwa oleh Pendakwa Raya Republik itu pada Oktober lalu.
Menurut Wilmar, DSI telah diarahkan untuk membayar deposit jaminan sebanyak 41.23 bilion rupiah (kira-kira AS$2.5 juta) kepada Pejabat Peguam Negara Indonesia, sebagai sebahagian daripada proses perundangan yang sedang berjalan.
“Kes ini masih menunggu keputusan mahkamah. Walau bagaimanapun, sekiranya keseluruhan deposit AS$2.5 juta tersebut dilucutkan, kesan kewangan terhadap Kumpulan PPB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dijangka tidak material,” jelas PPB Group dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia.
Tambah Wilmar lagi, jumlah deposit yang dibayar oleh DSI, jika dilucutkan, juga tidak akan memberi kesan besar kepada kedudukan kewangan syarikat tersebut.
Kesemua sembilan syarikat pengeluar gula terlibat – termasuk DSI – didakwa terlibat dalam proses import gula mentah yang diluluskan pada tahun 2016 oleh bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Thomas Lembong, bagi menangani masalah kekurangan gula domestik ketika itu.
Lembong telah dijatuhi hukuman penjara, namun proses undang-undang terhadap beliau telah dihentikan selepas diberikan pengampunan Presiden.
Wakil pengeluar gula terbabit kini memohon agar kes terhadap mereka turut digugurkan berikutan penamatan proses undang-undang terhadap bekas menteri tersebut. Keputusan mahkamah masih belum dimuktamadkan. - DagangNews.com








