KUALA LUMPUR 26 Feb — Potensi pengambilalihan IJM Corp Bhd (IJM) oleh Sunway Bhd semakin suram jika perkembangan semasa di ambil kira, kata CGS International.
Firma penyelidikan itu yang menyifatkan perkembangan baharu itu termasuk berkaitan harga tawaran yang dikatakan rendah daripada pasaran serta kelulusan daripada Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) bakal menjadi halangan atau roadblock kepada langkah yang berpotensi menjadi penggambungan terbesar itu.
Menurut CGSI dokumen tawaran telah diedarkan pada 3 Februari lalu, manakala Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) oleh Sunway dijadualkan berlangsung pada penghujung Mac. Tarikh tutup pertama tawaran pula ditetapkan pada 6 April 2026.
Tambahnya, laporan The Edge pada 21 Februari pula menyatakan bahawa Kementerian Kewangan (MOF) telah mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua GLIC bagi membincangkan pendirian masing-masing terhadap cadangan pengambilalihan itu.
"MOF juga dilaporkan mengambil langkah menyelaras maklum balas dalam kalangan GLIC dengan hasrat memastikan mereka bertindak secara kolektif bagi memperoleh nilai terbaik daripada IJM.
"Perkembangan ini dilihat mencetuskan ketidaktentuan terhadap kelancaran transaksi berkenaan, memandangkan sokongan pemegang saham utama, termasuk GLIC, amat penting dalam menentukan kejayaan sesuatu tawaran pengambilalihan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
CGSI menambah, berdasarkan harga penutup terakhir IJM dan Sunway, nilai tersirat bagi IJM dianggarkan sekitar RM3.24 sesaham, iaitu melebihi harga tawaran sebanyak RM3.15 sesaham.
"Ini mewujudkan jurang tawaran sekitar 24% berbanding harga penutup saham IJM," katanya.
CGSI berpandangan, diskaun yang ketara itu mencerminkan kebimbangan pasaran terhadap potensi komplikasi dalam proses rundingan, termasuk kemungkinan semakan semula terma tawaran.
"Tarikh 23 Mac 2026 dilihat sebagai penanda aras penting kerana ia merupakan hari terakhir untuk Sunway menyemak atau menambah baik tawarannya sebelum tarikh tutup pertama pada 6 April," katanya lagi.
Pada 12 Januari lalu, Sunway mengemukakan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk memperoleh kesemua 3.51 bilion saham IJM pada harga RM3.15 sesaham, dengan jumlah pertimbangan dianggarkan sekitar RM11 bilion. Tawaran itu akan diselesaikan melalui gabungan tunai dan penerbitan saham biasa baharu Sunway.
Sejak tawaran pengambilalihan diumumkan pada Januari lalu, IJM menjadi perhatian susulan lawatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri ke pejabatnya.
Selain itu, menurut laporan terdahulu oleh The Edge Malaysia, beberapa syarikat dan konsortium lain turut meneroka kemungkinan mengemukakan bidaan bersaing bagi IJM. Antara pemegang saham utamanya ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Amanah Saham Nasional Berhad.
CGSI seterusnya berpendapat, sekiranya pengambilalihan itu berjaya dimuktamadkan, ia berpotensi mengukuhkan lagi profil perniagaan Sunway, terutama selepas penyenaraian Sunway Healthcare Group (SHG) kelak.
Firma penyelidikan mengekalkan saranan HOLD terhadap saham Sunway dengan harga sasaran (TP) baharu RM5.95 berdasarkan kaedah jumlah bahagian (SOP), mengambil kira pelarasan harga sasaran Suncon dan peralihan tahun asas penilaian.
Antara pemangkin kenaikan termasuk potensi penilaian lebih tinggi bagi IPO SHG dan momentum jualan hartanah yang lebih kukuh, manakala risiko penurunan merangkumi kelembapan ekonomi serta peningkatan kos bahan mentah.
Prestasi Kewangan 4Q25
Sunway mencatat keuntungan bersih teras sebanyak RM411 juta bagi suku keempat berakhir 2025 (4Q25), meningkat 71% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, didorong prestasi kukuh segmen pembinaan dan pembangunan hartanah.
Prestasi itu menjadikan keuntungan bersih teras bagi tahun kewangan 2025 (FY25) kepada RM1.1 bilion, iaitu 12% lebih tinggi daripada jangkaan penganalisis dan 9% mengatasi konsensus pasaran.
Segmen pembangunan hartanah merekodkan peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak 57% tahun ke tahun kepada RM253 juta pada 4Q25, disokong sumbangan sulung daripada Sunway MCL yang pengambilalihannya dimuktamadkan pada Oktober 2025.
Bagi tempoh sama, pratempahan hartanah mencecah RM700 juta, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan FY25 kepada RM3.8 bilion, mengatasi sasaran awal RM3.6 bilion. Bagi FY26, kumpulan menetapkan sasaran jualan lebih tinggi sebanyak RM4.2 bilion, mencerminkan keyakinan terhadap permintaan pasaran yang berterusan.
Dalam segmen penjagaan kesihatan, bahagian keuntungan usaha sama SHG bagi 4Q25 meningkat kepada RM97 juta berbanding RM67 juta setahun lalu, susulan pengiktirafan aset cukai tertunda sebanyak RM37 juta hasil kelulusan elaun cukai pelaburan.
Hasil FY25 SHG meningkat 19% kepada RM2.2 bilion, manakala EBITDA terlaras berkembang 15% tahun ke tahun kepada RM511 juta, dengan margin EBITDA kekal pada 25%. Sunway Medical Centre Damansara mencapai titik pulang modal EBITDA pada Ogos 2025, diikuti Sunway Medical Centre Ipoh pada Januari 2026.
Suncon raih kontrak pusat data RM1.15 bilion
Sementara itu, anak syarikat pembinaan, Sunway Construction (Suncon) pada 25 Februari mengumumkan kejayaan meraih kontrak kerja teras dan struktur pusat data bernilai RM1.146 bilion daripada pelanggan sedia ada yang merupakan syarikat multinasional (MNC) berpangkalan di Amerika Syarikat.
Kontrak tersebut menjadikan jumlah kemenangan kontrak baharu tahun ke tarikh (YTD) FY26 kepada RM1.2 bilion, dengan buku pesanan semasa meningkat kepada RM6.9 bilion setakat Februari 2026. - DagangNews.com








