PNB, GLICs sasar lahirkan 10 syarikat juara Bumiputera menjelang 2030 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PNB, GLICs sasar lahirkan 10 syarikat juara Bumiputera menjelang 2030

KUALA LUMPUR 8 Dis — Permodalan Nasional Bhd (PNB), bersama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) lain, komited memacu inisiatif 10 Juara Bumiputera bagi mewujudkan 10 syarikat yang masing-masing mempunyai modal pasaran atau nilai perusahaan sekurang-kurangnya RM500 juta menjelang tahun 2030.

 

Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rick Ramli, berkata inisiatif di bawah Program Pengaktifan dan Reformasi Entiti Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP), yang merupakan sebahagian daripada agenda Ekonomi Madani itu, bertujuan memacu pertumbuhan mampan serta memperkasa komuniti Bumiputera.

 

“GLIC kini berada dalam proses menilai dan menyenarai pendek syarikat-syarikat bagi fasa sokongan.

 

“Hampir 170 syarikat telah melalui saringan awal, dan 30 hingga 40 syarikat sedang diteliti dengan lebih mendalam untuk melepasi saringan tersebut sebelum disenarai pendek kepada 10 syarikat pada suku pertama tahun 2026,” katanya dalam satu temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

 

Sebanyak enam GLIC terlibat, iaitu PNB, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Bhd, Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

 

Rick berkata inisiatif ini selaras dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar GLIC dan GLC memperkasa pembangunan ekonomi Bumiputera di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), untuk melahirkan lima hingga 10 syarikat Bumiputera yang berjaya.

 

Di bawah inisiatif ini, PNB dan GLIC lain akan memperkasa pertumbuhan syarikat Bumiputera dengan mengenal pasti syarikat yang mempunyai asas kukuh dan potensi, serta menyokong mereka mencapai tahap lebih tinggi.

 

Sokongan tersebut merangkumi pembangunan kapasiti, memudah cara akses pasaran melalui rangkaian luas GLIC, menyediakan panduan strategik untuk mempercepat pengembangan, dan membangunkan pelan penciptaan nilai bersama pihak pengurusan bagi merangka strategi pertumbuhan yang disesuaikan untuk membuka nilai jangka panjang.

 

“Syari­kat Bumiputera masih berdepan cabaran untuk berkembang, membina kapasiti, mengakses pasaran, mendapatkan pembiayaan dan sebagainya, dan ini mengehadkan keupayaan mereka untuk memasuki pasaran modal. Oleh itu, tidak banyak syarikat Bumiputera baharu tersenarai di Bursa Malaysia,” katanya.

 

Sebanyak RM40 juta telah diluluskan dalam Belanjawan 2026 bagi mempercepat usaha meningkatkan skala syarikat Bumiputera berpotensi tinggi.

 

Rick berkata nilai perusahaan sasaran RM500 juta merupakan titik permulaan untuk sesebuah syarikat disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

“Pada akhir tempoh lima tahun, jika inisiatif ini berjaya, syarikat-syarikat tersebut akan mencapai skala yang sesuai dan mempunyai keupayaan untuk memasuki pasaran modal serta berpotensi tersenarai melalui penawaran awam permulaan (IPO), walaupun keputusan penyenaraian itu tetap bergantung kepada pihak pengurusan.

 

“Langkah penyenaraian ini akan membolehkan mereka menarik pelaburan baharu daripada pemegang saham dan orang ramai,” tambahnya. - BERNAMA