PNB desak syarikat pelaburan tingkatkan prestasi jangka panjang, selari fokus lindungi pulangan pemegang unit | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PNB desak syarikat pelaburan tingkatkan prestasi jangka panjang, selari fokus lindungi pulangan pemegang unit

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 24 Dis - Permodalan Nasional Bhd (PNB) mahu syarikat-syarikat dalam portfolio pelaburannya untuk mencatat prestasi jangka panjang yang lebih kukuh kerana ia selari dengan fokusnya sebagai pengurus dana terbesar negara dalam melindungi dan meningkatkan pulangan kepada pemegang unit amanah.

 

Presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, PNB menuntut strategi korporat yang lebih jelas serta penglibatan pelabur yang lebih aktif daripada syarikat-syarikat pelaburannya, termasuk penjelasan yang lebih baik mengenai pelan pertumbuhan mereka.

 

PNB memegang kepentingan besar dalam syarikat-syarikat seperti Malayan Banking Bhd (Maybank), Sime Darby Bhd, SD Guthrie Bhd, SP Setia Bhd, Duopharma Biotech Bhd, Velesto Energy Bhd, MNRB Holdings Bhd dan Sapura Energy Bhd.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ia juga mempunyai lebih daripada 10 peratus pegangan atau pelaburan melebihi RM1 bilion dalam syarikat seperti Telekom Malaysia Bhd, Tenaga Nasional Bhd, IJM Corp Bhd, Axiata Group Bhd, Gamuda Bhd dan CIMB Group Holdings Bhd.

 

Abdul Rahman berkata, desakan itu dibuat berikutan prestasi korporat di Malaysia yang secara umumnya lemah, khususnya dari segi pulangan atas ekuiti, pertumbuhan pendapatan dan penciptaan nilai keseluruhan kepada pemegang saham.

 

"Sekiranya prestasi hambar ini berterusan untuk tempoh yang panjang, ia akan memberi tekanan kepada PNB sebagai pelabur institusi untuk memberikan pulangan yang baik kepada pemegang unit amanah berikutan hasil pelaburan yang lebih lemah," katanya.

 

Sehubungan itu, pada tahun ini, berdasarkan rangka kerja libat urus baharu, PNB menjadi lebih aktif dalam mesyuarat agung tahunan dengan secara terbuka menyoal prestasi syarikat, termasuk jumlah pulangan kepada pemegang saham (TSR), punca prestasi lemah dan pelan pemulihan syarikat.

 

“Kami kini melakukan perkara ini secara terbuka, dan tekanan lebih tertumpu kepada lembaga pengarah. Kami mahu lembaga bersikap telus.

 

“Pemegang saham akan melihat jawapan yang diberikan, dan hanya selepas itu mereka akan tahu sama ada syarikat benar-benar serius atau sebaliknya,” kata Abdul Rahman pada sesi taklimat media bersama editor-editor baru-baru ini.

 

Timbalan presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan, Datuk Rick Ramli berkata, PNB telah menulis kepada syarikat-syarikat pelaburannya untuk meminta penjelasan terperinci mengenai sasaran TSR mereka.

 

"Pendekatan ini membantu PNB mengenal pasti syarikat yang memerlukan libat urus lebih mendalam bagi menetapkan jangkaan prestasi yang lebih jelas dan berdaya saing," ujarnya.

 

Rick menegaskan, inisiatif ini memberi manfaat bukan sahaja kepada PNB, malah kepada pengurus dana besar lain di Malaysia seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

 

“Jika ini dilakukan dengan betul, semua pihak akan mendapat manfaat,” tegasnya.

 

TSR merupakan metrik penting yang digunakan untuk mengukur jumlah keuntungan yang diterima oleh pemegang saham daripada pelaburan mereka dalam sesebuah syarikat, merangkumi kenaikan harga saham atau keuntungan modal serta dividen yang dibayar.

 

Amanah Saham Nasional Bhd, syarikat pengurusan unit amanah milik penuh PNB, baru-baru ini mengumumkan pengagihan pendapatan berjumlah 5.75 sen seunit bagi dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB), untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

 

 

 

 

 

 

 

Jumlah pembayaran keseluruhan mencecah RM10.4 bilion dan akan memberi manfaat kepada 11.4 juta pemegang unit ASB.

 

ASB mengekalkan kadar pengagihan dividennya berbanding 2024 dan terus memberikan pulangan mampan yang mengatasi pasaran dengan melebarkan jurang daya saing berbanding penanda arasnya, iaitu kadar deposit tetap 12 bulan Malayan Banking Bhd, yang mencatat kadar purata 2.29 peratus, bersamaan 346 mata asas. - DagangNews.com