KUALA LUMPUR 6 Feb — Permodalan Nasional Bhd (PNB) masih belum membuat sebarang keputusan berhubung tawaran pengambilalihan sukarela (voluntary general offer, VGO) oleh Sunway Bhd ke atas IJM Corporation Bhd, sebaliknya akan menilai tawaran tersebut berdasarkan pertimbangan komersial dan pulangan pelaburan jangka panjang.
PNB berkata, penilaian itu akan mengambil kira nilai intrinsik dan prospek masa depan IJM, komponen pertimbangan tunai yang ditawarkan serta anggaran nilai masa hadapan saham pertukaran Sunway yang terlibat dalam cadangan tersebut.
Menurut PNB lagi, Sunway baru sahaja mengedarkan dokumen tawaran kepada semua pemegang saham IJM, manakala penasihat bebas yang dilantik oleh lembaga pengarah IJM dijangka mengemukakan pandangan mereka selewat-lewatnya pada 16 Mac 2026.
Katanya, tawaran tersebut pula dibuka untuk penerimaan sehingga 6 April 2026 atau tarikh lanjutan yang dibenarkan di bawah peraturan pengambilalihan dan penggabungan.
“PNB ingin menegaskan bahawa pegangan semasanya dalam IJM adalah kurang daripada 13.5% dan justeru itu, PNB tidak mempunyai pengaruh ke atas keputusan akhir tawaran berkenaan, memandangkan VGO ini hanya akan berjaya sekiranya lebih 50% pemegang saham IJM menerima tawaran tersebut,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Bernama.
Kenyataan itu menyusuli penjelasan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di Parlimen pada 4 Februari lalu, yang menyatakan bahawa PNB akan menilai tawaran Sunway berdasarkan pertimbangan komersial, risiko pelaburan, tadbir urus, pulangan kepada pelabur serta hala tuju strategik selepas pengambilalihan.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang keputusan untuk menerima atau menolak tawaran berkenaan akan dibuat secara bebas, tertakluk kepada proses tadbir urus dan kelulusan dalaman PNB.
Pada 12 Januari lalu, Sunway mengemukakan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk memperoleh kesemua 3.51 bilion saham IJM pada harga RM3.15 sesaham, dengan jumlah pertimbangan dianggarkan sekitar RM11 bilion. Tawaran itu akan diselesaikan melalui gabungan tunai dan penerbitan saham biasa baharu Sunway.
Dalam pada itu, PNB memaklumkan bahawa selaras dengan rangka kerja pelaburannya yang ketat dan berlandaskan disiplin fidusiari, cadangan VGO tersebut akan melalui proses penilaian dalaman yang menyeluruh sebelum dibawa ke Jawatankuasa Pelaburan Lembaga Pengarah PNB untuk pertimbangan dan keputusan muktamad.








