PUTRAJAYA 1 Mac - Pejabat Perdana Menteri (PMO) memperkenalkan Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri bermula hari ini bagi memastikan rakyat menerima maklumat tepat dan sahih secara terus daripada sumber rasmi.
Taklimat yang disampaikan Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah itu akan disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia pada pukul 11 pagi dan 5 petang.
Dalam siaran langsung pertama Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri pada pukul 11 pagi hari ini, Tunku Nashrul memaklumkan PMO akan menjelaskan tentang isu-isu semasa, dasar-dasar penting serta perkembangan terkini yang perlu diketahui oleh rakyat.
Katanya, inisiatif itu juga merupakan langkah penting untuk menangkis penyebaran fitnah serta maklumat palsu yang mengelirukan masyarakat.
Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Tunku Nashrul berkata, PMO percaya bahawa komunikasi yang jelas, keterbukaan dalam pentadbiran dan pengukuhan nilai-nilai spiritual adalah elemen penting untuk mewujudkan kepercayaan antara rakyat dan kerajaan.
“Dalam era pasca normal yang menyaksikan maklumat tersebar luas dengan pantas, keperluan untuk mendapatkan fakta yang tepat dan sahih adalah amat penting.
“Menyedari hakikat ini, Perdana Menteri telah bersetuju untuk memperkenalkan Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang akan disiarkan secara langsung.
“Inisiatif ini juga selaras dengan gagasan MADANI yang menjunjung tinggi ketelusan antara pentadbiran dan rakyat, di samping membudayakan amalan menyemak kebenaran sesuatu maklumat melalui sumber yang sahih dan tepat,” katanya dalam taklimat harian tersebut.
Tunku Nashrul berkata, PMO turut mengajak semua pihak untuk bersama-sama menyokong dan menyertai inisiatif-inisiatif demi kebaikan dan kemajuan negara.
“Marilah kita jadikan Ramadan ini sebagai bulan islah yakni pembaharuan dalam komunikasi, pentadbiran dan kehidupan.
“Sebelum mengakhiri taklimat hari ini, saya mewakili Perdana Menteri dan keluarga ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak kepada seluruh umat Islam,” katanya. - DagangNews.com








