PM Anwar seru ASEAN selaras dasar luar dan ekonomi lebih padu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PM Anwar seru ASEAN selaras dasar luar dan ekonomi lebih padu

KUALA LUMPUR 9 Julai (Bernama) - ASEAN perlu memastikan penyelarasan yang lebih padu antara dasar luar dan ekonominya bagi memperkukuh perpaduan serantau dalam persekitaran ketegangan geopolitik dan perdagangan yang semakin meningkat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Beliau berkata menteri-menteri luar dan ekonomi ASEAN perlu bergerak seiring dalam menghadapi cabaran, sambil menekankan bahawa sinergi sedemikian penting bagi menterjemahkan perpaduan ASEAN kepada hasil yang nyata.

 

Menonjolkan perubahan landskap global, Anwar memberi amaran bahawa alat yang secara tradisinya digunakan untuk menggalakkan pertumbuhan, termasuk perdagangan dan pelaburan, kini semakin digunakan untuk memberikan tekanan politik dan memecahkan kerjasama global.

 

“Trend ini bukan masalah untuk sementara waktu, tetapi merupakan cabaran baharu ketika ini,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 di sini pada Rabu.

 

 

ASEAN
Datuk Seri Anwar bertemu Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn sebelum majlis perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 di Kuala Lumpur pada 9 Julai 2025.

 

 

Anwar berkata kuasa sentiasa mempengaruhi perdagangan, tetapi pada hari ini, kuasa semakin mentakrifkan perdagangan, sambil memetik peningkatan tarif, sekatan eksport dan halangan pelaburan sebagai instrumen persaingan geopolitik.

 

Dalam keadaan ini, beliau berkata ASEAN mesti berdepan dengan realiti masa kini dengan “kejelasan dan keyakinan,” memastikan perpaduan bukan sahaja dizahirkan dalam pengisytiharan tetapi turut tersemat dalam institusi, strategi dan proses membuat keputusan.

 

Anwar berkata, ASEAN kini semakin diiktiraf dan menerima penghormatan pada peringkat antarabangsa, didorong oleh kepercayaan, keyakinan dan persahabatan yang kukuh dalam kalangan negara-negara anggotanya.

 

Merujuk kepada pertemuan terkininya dengan pemimpin dunia di Brazil, Itali dan Perancis, Anwar berkata tanpa pengecualian, setiap sesi dua hala mereka dengan Malaysia akan melibatkan perbincangan mengenai ASEAN, satu bukti jelas akan kedudukan ASEAN yang semakin meningkat di pentas global.

 

“Semua pihak mengiktiraf peranan ASEAN. ASEAN kini telah muncul dan mencapai kedudukan yang luar biasa, serta penghormatan dan pengiktirafan yang besar pada peringkat antarabangsa. Saya ucapkan terima kasih kepada anda semua, khususnya para menteri luar,” kata beliau.

 

 

ASEAN

 

 

Perdana Menteri berkata kesemua 10 negara anggota ASEAN telah menunjukkan prestasi yang baik, sekali gus mengulangi tahap kepercayaan dan keyakinan yang ada dalam kalangan setiap negara anggota.

 

Anwar menyifatkan kekuatan ASEAN sebagai jaminan kepada keamanan dan pertumbuhan ekonomi, sambil menekankan bahawa perpaduan mesti dikekalkan demi melindungi kepentingan lebih 600 juta rakyat di rantau ini.

 

Perdana Menteri turut menekankan keperluan untuk ASEAN terus kekal bersatu dan berdaya tahan susulan ketidakstabilan global yang semakin meningkat serta menyeru negara anggota agar memperkukuh Kepusatan ASEAN selain menjadikan ia sebagai pedoman.

 

Anwar berkata ASEAN perlu kekal sebagai tonggak utama rantau ini bagi dialog dan kerjasama selain terus menawarkan nilai kepada rakan dialog.

 

"Kepusatan ASEAN harus menjadi pedoman utama kita seperti yang dilihat melalui usaha berterusan dalam memperkukuh dan memperbaharui institusi-institusi yang diterajui ASEAN.

 

“Kita mesti kekal sebagai tonggak utama bagi dialog serantau sebagaimana Rakan Dialog kita harus terus dapat melihat nilai untuk menjalin hubungan dengan kita,” katanya.

 

 

ASEAN

 

 

Perdana Menteri turut menyifatkan landskap global semasa sebagai keadaan yang menyaksikan kepastian lama semakin memudar dan ancaman baharu mula muncul, justeru mesyuarat ini berlangsung di tengah-tengah terlerainya andaian lama apabila kuasa menggugat prinsip dan ketenangan tidak lagi boleh diambil mudah.

 

“Tatanan global kini semakin merapuh. Konik, pemaksaan dan rasa curiga kini membelenggu terlalu banyak hubungan antarabangsa dan begitu banyak nyawa terkorban atau terkesan akibatnya,” kata beliau.

 

Pada masa sama, Anwar meluahkan kebimbangan yang mendalam terhadap krisis berpanjangan termasuk konik di Gaza, perang di Ukraine dan keganasan di beberapa kawasan di Afrika serta situasi yang kian meruncing di Myanmar.

 

“Di Gaza dan Palestin, kita menyaksikan penderitaan yang tidak berkesudahan seluruh rakyatnya, yang turut dinakan maruah serta keadilan sejak beberapa generasi. Di Ukraine, perang masih berlarutan. Di beberapa kawasan di Afrika, keganasan yang terus berlaku telah menyebabkan perpindahan dan kemusnahan. Dan di Myanmar, keamanan sukar digapai malah penderitaan semakin mendalam,” katanya.

 

Perdana Menteri turut merujuk kepada ketegangan yang kian memuncak di Timur Tengah di mana tindakan sesebuah negara terhadap jirannya menjadi ancaman yang boleh mencetuskan konik serantau yang lebih besar dan risiko yang dihadapi amat serius terhadap keselamatan tenaga, kestabilan global serta integriti undang-undang antarabangsa. - Bernama