KUALA LUMPUR 31 Julai - PLUS Malaysia Berhad dan UEM Lestra Berhad, kedua-duanya anak syarikat milik penuh UEM Group Berhad menjalin kerjasama meneroka pembangunan projek solar berskala besar (LSS), bermula dengan cadangan ladang solar di tanah milik PLUS di Ayer Keroh, Melaka.
Kerjasama ini berteraskan cadangan pembangunan ladang solar di atas tanah seluas 200 ekar yang merupakan sebahagian daripada Fasa 2 Pelan Induk Konseptual Tanah Ayer Keroh milik PLUS.
Secara keseluruhan, pelan induk ini meliputi kawasan seluas 338 ekar dengan pembangunan bercampur termasuk pembangunan runcit mobiliti dan kediaman di bawah Fasa 1 dan 3.
Kerjasama itu dibentuk menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman, adalah sejajar dengan aspirasi negara untuk mencapai status Pelepasan Karbon Sifar Bersih (Net Zero) menjelang tahun 2050, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik antara kedua-dua syarikat ini.
Ia merupakan sebahagian daripada visi lebih besar untuk memanfaatkan potensi aset tanah milik PLUS dalam pembangunan infrastruktur hijau dan inisiatif mampan.

Majlis menandatangani MoU tersebut telah diadakan baru-baru ini di Persada PLUS dan disempurnakan oleh Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Lestra, Harman Faiz Habib Muhamad.
Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, kerjasama dengan UEM Lestra ini mencerminkan komitmen PLUS dalam memainkan peranan aktif ke arah pembangunan lestari menerusi penggunaan aset tanah strategik dan infrastruktur syarikat untuk menjana tenaga boleh baharu serta menyokong sasaran pelepasan sifar karbon negara.
“Inisiatif ini juga menyokong strategi jangka panjang PLUS untuk menjadi lebuh raya yang selamat, lestari dan pintar, sekaligus mengukuhkan peranan kami sebagai rakan pembina negara yang mengutamakan inovasi dan penjagaan alam sekitar,” tambah beliau.
MoU ini turut merangkumi usaha bersama bagi mengenal pasti lokasi-lokasi lain yang sesuai untuk pelaksanaan projek-projek mampan yang bertujuan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan menyokong agenda kelestarian Malaysia.
Sementara itu, Harman Faiz Habib Muhamad berkata, kerjasama ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pengembangan strategik UEM Lestra dalam sektor tenaga boleh baharu negara.
"Dengan kepakaran teknikal serta keupayaan pengurusan projek yang kami miliki, kami komited untuk merealisasikan pembangunan ladang solar berskala besar yang mampan dan memberi impak positif di atas tanah milik PLUS di Ayer Keroh serta inisiatif seumpamanya di lokasi lain.”
UEM Lestra, yang diiktiraf menerusi rekod pencapaian dalam portfolio tenaga boleh baharu dan kepakaran teknikalnya, akan mengetuai perancangan dan penilaian kebolehlaksanaan projek LSS ini. - DagangNews.com








