KUALA LUMPUR 22 Julai – PJBumi Berhad memperoleh kontrak bagi pembekalan teknologi ADiRA BioReactor untuk memproses sehingga 20 tan sehari sisa pepejal bandar di Indonesia.
Projek pemprosesan sisa organik ini terletak di tapak pengurusan sisa bersepadu Babakan Sari di Bandung, menurut kenyataan kumpulan itu dalam makluman di Bursa Malaysia.
PJBumi berkata, kontrak tersebut telah dianugerahkan kepada anak syarikat milik 90%-nya, iaitu PT Petra Jaya Bumi, oleh PT Inovasi Gerakan Masyarakat (INGRAM).
Di bawah terma kontrak, yuran pelupusan (tipping fee) telah dipersetujui pada kadar AS$10.10 (RM42.86) setiap tan sisa organik untuk tempoh lima tahun pertama.
Mulai tahun keenam dan seterusnya, yuran pelupusan akan disemak kepada AS$8.90 setiap tan, tertakluk kepada persetujuan bersama dan semakan berdasarkan keadaan pasaran semasa serta faktor operasi ketika pembaharuan kontrak.
Dari segi komitmen volum, INGRAM dikehendaki menghantar sekurang-kurangnya 10 tan sisa organik setiap hari ke fasiliti tersebut. Sekiranya jumlah harian kurang daripada ambang minimum ini, INGRAM akan tetap dibilkan untuk jumlah minimum sebanyak 10 tan.
PJBumi berkata kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 dan seterusnya.
Harga saham PJBumi kekal tidak berubah pada RM1.32, dengan penilaian kumpulan sebanyak RM108 juta. - DagangNews.com








